Kontraktor stadium didenda RM10,000
Abdul Rahim didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu selepas mengaku bersalah melakukan kerja-kerja di Stadium Mizan Zainal Abidin tanpa daftar
KUALA TERENGGANU - Seorang kontraktor binaan dijatuhi hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah melakukan kerja-kerja membuka semula struktur bumbung ‘west stand’ di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini, tanpa lesen.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris turut memerintahkan Abdul Rahim Osman, 52, dipenjara tiga bulan jika gagal menjelaskan denda.

Kesemua hukuman itu diputuskan selepas pemilik Syarikat Tetuan RHM Sevices itu mengaku bersalah menjalankan kerja-kerja membuka semula struktur bumbung ‘west stand’ dan lain-lain kerja berkaitan dengan stadium itu tanpa berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan memegang suatu perakuan pendaftaran yang sah yang dikeluarkan CIDB Malaysia.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah subseksyen 25 (1), Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 dan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29, akta yang sama itu pada 5 November tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, Abdul Rahim selaku sub kontraktor dalam kerja-kerja berkenaan boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM50,000 jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa CIDB Malaysia, Abdul Razak Husin manakala Abdul Rahim tidak diwakili peguam.

Terdahulu, dalam rayuannya, Abdul Rahim mendakwa tidak tahu bahawa dia sebagai sub kontraktor yang dilantik perlu berdaftar dengan CIDB Malaysia bagi menjalankan kerja-kerja berkenaan.

“Saya ingatkan kontraktor utama sahaja perlu berdaftar dengan CIDB Malaysia, jadi disebabkan itu saya tidak berbuat demikian. Saya merayu mahkamah memberi hukuman paling minimum,” rayunya.

Sementara itu, kontraktor utama iaitu Prisma Keris Sdn Bhd telah dikenakan tindakan tatatertib pada 11 April lalu iaitu di bawah peraturan 15 (4) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Kontraktor 1995.

Kontraktor berkenaan dilarang menjalankan atau menyiapkan apa-apa kerja pembinaan kecuali dengan arahan CIDB Malaysia dan satu notis boleh dikeluarkan terhadap kontraktor yang menghendaki untuk tidak memulakan atau meneruskan kerja-kerja pembinaan tersebut sekiranya ada.

Selain itu, Perakuan Pendaftaran kontraktor ditarik balik sehingga tamat tempoh Pendaftaran iaitu pada 25 Julai ini.

Kontraktor itu hanya dibenarkan menyiapkan kerja-kerja membuka semula baki struktur bumbung ‘west stand’ dan lain-lain kerja berkaitan seperti mana yang dikehendaki di dalam surat award.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, lima pekerja binaan cedera dengan tiga daripadanya parah apabila kerangka lama bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, yang dalam proses baik pulih runtuh.

Semasa kejadian, lapan pekerja sedang menjalankan kerja membaik pulih bumbung stadium berkenaan dan dianggarkan 137 meter iaitu kira-kira dua pertiga daripada struktur asal bumbung telah runtuh.

Siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai akibat kelemahan struktur utama bumbung setelah melalui beberapa proses menurunkan kerangka di bahagian tengah bumbung.

Pada masa sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengaku berkemungkinan punca kejadian daripada kecuaian pihak kontraktor dan mereka bertanggungjawab untuk memastikan kerja-kerja baik pulih stadium itu dilakukan dengan selamat.

Stadium berkenaan terpaksa menjalani proses baik pulih dengan kos RM15 juta setelah bumbung utamanya bernilai RM292 juta runtuh pada 2 Jun 2009 menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah.