Search This Blog

Sunday, May 19, 2013

Kilang cat hangus

Kapar: “Sewaktu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, saya lihat api marak dari sebuah kilang. Sebaik tiba di kawasan itu, saya terdengar bunyi letupan dan bomba melarang orang ramai menghampiri kawasan itu,” kata saksi sebuah kilang cat terbakar di Jalan Sungai Puloh, Batu 5 Jalan Kapar, di sini, malam kelmarin.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Mahabur, 28, berkata, letupan kuat itu menyebabkan kawasan kejadian bukan saja dipenuhi anggota bomba yang bertungkus-lumus memadam kebakaran, malah orang ramai turut berhenti menyaksikan kejadian.

Dalam kejadian jam 8.15 malam, kilang cat itu terbakar menyebabkan bekalan cat dan cecair kimia di sekitar kilang meletup dan terpelanting ke jalan dan kilang berhampiran.
Namun sewaktu kejadian, tiada pekerja di kawasan berkenaan dan setakat ini tiada kecederaan dilaporkan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang Penguasa Kanan Bomba II Ahmad Zaidi Safuan berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam jam 8.40 malam sebelum sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba pihaknya melihat api marak selain berlaku letupan, dipercayai berpunca daripada tong cat dan cecair kimia di kawasan kilang.
“Api dikawal sepenuhnya jam 12.06 tengah malam kerana sewaktu kejadian, bomba sukar menghampiri tempat kejadian memandangkan letupan masih berlaku dan membahayakan anggota yang bertugas.

“Bomba perlu mengawal api terlebih dulu dari tiga penjuru bagi memastikan kebakaran tidak merebak ke kawasan lain sebelum api dikawal sepenuhnya,” katanya.
Katanya, operasi diketuai Penguasa Bomba Mustakim Rimon bersama empat pegawai dan 42 anggota masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Kota Raja, Andalas, Pelabuhan Klang, Shah Alam, Kota Anggerik dan Subang Jaya dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata, pemilik kilang berada di Johor sewaktu kejadian dan hanya mengetahui kilangnya terbakar selepas dimaklumkan bomba.

Katanya, pasukan forensik bomba dihantar ke tempat kejadian untuk menyiasat punca kejadian dan setakat ini jumlah kerugian masih dalam siasatan.

No comments:

Post a Comment