Search This Blog

Thursday, May 23, 2013

Ketua samun upah gula-gula



Gombak: Polis menubuhkan pasukan khas untuk menjejak mereka selepas lebih 20 kedai disamun dan hasilnya amat mengejutkan kerana kumpulan penjenayah disyaki terbabit adalah remaja belasan tahun yang menerima upah cuma RM5 hingga RM10.

Mereka yang baru berusia 14 hingga 17 tahun dikatakan turut menerima habuan gula-gula selepas menyerahkan hasil samun kepada ketua mereka yang berusia 23 tahun.


Sumber polis berkata, empat remaja yang masih bersekolah itu bersama ketua mereka yang tinggal di sebuah taman perumahan di Batu Muda, di sini, dalam beberapa siri tangkapan sejak Isnin lalu hingga kelmarin.

Menurutnya, kumpulan penjenayah terbabit disyaki sudah melakukan lebih 20 kes samun dengan mensasarkan kedai 24 jam di sekitar daerah ini sejak dua bulan lalu.


“Kumpulan penjenayah cilik ini dipercayai mula bergiat aktif awal April lalu dan mengenali antara satu sama lain kerana tinggal di kawasan sama.


“Siasatan awal polis mendapati ketua kumpulan itu yang berusia 23 tahun bertanggungjawab sebagai perancang termasuk mengenal pasti kedai 24 jam yang menjadi sasaran,” katanya. Sumber itu berkata, ketika samun dilakukan ketua kumpulan tidak menyertainya, sebaliknya hanya empat suspek remaja yang melakukannya.

“Mereka melakukan samun dengan bersenjatakan pisau untuk mengugut petugas kedai 24 jam yang dijadikan sasaran. Siasatan juga mendapati mereka menaiki dua motosikal milik ahli keluarga masing-masing,” katanya. Menurutnya, dalam serbuan ke rumah ketua kumpulan terbabit, polis merampas semula pelbagai barangan samun yang nilainya dianggarkan RM20,000.


“Hasil soal siasat juga mendapati remaja terbabit hanya menerima upah sebanyak RM5 hingga RM10 selain diberi gula-gula sementara lebihan hasil samun untuk ketua,” katanya.

Sumber itu berkata, kebanyakan barangan yang disamun termasuk pemetik api, pencuci rambut, wang tunai dan gula-gula.


“Suspek berusia 23 tahun juga mempunyai rekod jenayah dalam kegiatan samun,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, semua suspek kini direman selama enam hari.

No comments:

Post a Comment