Kemalangan 5 kenderaan
Kereta dipandu mangsa remuk teruk dirempuh tiga kenderaan lain.
Kemalangan 5 kenderaan
Keadaan kereta Heeza yang remuk.
ALOR  GAJAH - Seorang kakitangan syarikat swasta tergamam seketika apabila menyaksikan keretanya remuk teruk dirempuh tiga kenderaan lain dalam satu kejadian kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah treler di Kilometer 213.2 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, dekat sini, pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 6.40 pagi itu, mangsa, Heeza Izwaf Mohd Hasnan, 37, memandu kereta BMW dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru cuba mengelak sebuah treler yang hilang kawalan sebelum berlakunya kemalangan.

Jurucakap polis berkata, kejadian turut membabitkan tiga kereta lain iaitu dua buah Toyota Camry dan sebuah Proton Gen-2 yang gagal mengelak kereta dipandu mangsa yang melintang di lorong tengah.

"Setiba di tempat kejadian, mangsa masuk ke lorong tengah bagi mengelak kabus tebal tanpa menyedari sebuah treler berada di lorong paling kiri seolah-olah hilang kawalan," katanya.

Menurutnya, mangsa yang terkejut selepas menyedari sebuah treler di hadapannya hilang kawalan cuba mengelak, namun bahagian kiri keretanya terkena bucu kanan belakang lori terbabit.

"Kereta mangsa kemudiannya berpusing dan terhenti dalam kedudukan melintang di lorong tengah, namun mangsa sempat keluar dari keretanya untuk menyelamatkan diri melintas ke pengadang kiri jalan.

“Mangsa yang cuba mendapatkan bantuan kecemasan walaupun tergamam seketika apabila menyaksikan keretanya remuk teruk dirempuh tiga kenderaan lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara Heeza berkata, dia bersyukur terselamat dari maut namun terkejut menyaksikan bagaimana tiga kenderaan lain dari arah sama merempuh keretanya satu persatu hingga remuk.

Jurucakap paramedik berkata, kesemua mangsa yang terbabit dalam kemalangan berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Mangsa dihantar ke Hospital Melaka menggunakan ambulan manakala pemandu kenderaan lain yang cedera ringan turut dihantar ke hospital sama,” katanya. 

Ketua Polis Daerah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian dan disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.