Search This Blog

Thursday, May 16, 2013

Kejutan selepas nahas



Alor Gajah: Seorang juruaudit sebuah syarikat korporat sempat keluar dari keretanya yang terbabit kemalangan dengan treler sebelum melihat BMW dipandunya dirempuh tiga kenderaan lain di Kilometer 213.2, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, pemandu kereta berkenaan Heeza Izwaf Mohd Hasnan, 37, dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bharu kerana urusan kerja.


Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa mendapati laluan berkenaan berkabus dan cuba memasuki lorong tengah, namun terlanggar belakang treler sebelum keretanya yang melintang lebuh raya sebelum dirempuh tiga kenderaan lain.

Sumber berkata, kejadian membabitkan lima kenderaan iaitu kereta BMW mangsa, treler, dua Toyota Camry dan sebuah Proton Gen2 dalam di di kawasan jalan berkabus.


“Difahamkan, mangsa yang memandu sendirian berada di lorong kanan menyedari terdapat kabus tebal dan angin lintang di hadapan lalu memperlahankan kenderaan.


“Dia kemudiannya cuba menyusur ke lorong tengah bagi mengelak kabus tebal tanpa menyedari sebuah treler berada di lorong paling kiri. Mangsa yang terkejut selepas menyedari sebuah treler di hadapannya hilang kawalan cuba mengelak, namun bahagian kiri kereta terkena bucu kanan kenderaan berat itu,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, berikutan rempuhan itu, kereta dipandu mangsa berpusing dan terhenti dalam keadaan melintang di lorong tengah sebelum mangsa yang cedera ringan di kepala terus keluar dan menyelamatkan diri di penghadang kiri lebuh raya.


Katanya, mangsa cuba mendapatkan bantuan kecemasan, namun terkejut apabila keretanya dirempuh pula oleh tiga kenderaan lain tidak lama selepas kejadian.

Sementara itu, Heeza Izwaf bersyukur kerana terselamat dari maut, namun terkejut melihat tiga kenderaan merempuh keretanya.


“Sambil menahan sakit saya keluar menyelamatkan diri dengan berlari ke penghadang kiri jalan sebelum lihat kereta dirempuh tiga kenderaan lain dalam sekelip mata,” katanya.


Jurucakap paramedik berkata, semua mangsa yang terbabit dalam kemalangan berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.


“Semua mereka dihantar ke Hospital Melaka menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan kerana kecederaan dialami,” katanya.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment