Search This Blog

Thursday, May 16, 2013

Kehilangan Sosilawati, rakan bukan kebetulan



SHAH ALAM 15 Mei - Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi hari ini memohon Mahkamah Tinggi di sini mengambil kira wujudnya persamaan fakta kes itu dengan kehilangan dua lagi individu, Shafiq Davendran Abdullah dan Allal Kathan Muthuraja.
Ini kerana, ujar Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin, terdapat keterangan-keterangan baharu seperti laporan polis dan keterangan bekas peguam. N. Pathmanabhan (tertuduh pertama) yang mengesahkan sendiri akan kewujudan kedua-dua ahli perniagaan terbabit dan keterangan pekerja ladangnya, R. Kathavarayan, 32.
''Kami menegaskan bahawa saksi pendakwaan (SP) ke-96 (Samson Nahar Mohamed Dali) dan SP ke-101 (S. Usharani) telah mengesahkan suami mereka telah pergi ke Banting untuk berjumpa dengan Pathmanabhan atas urusan perniagaan. Selepas itu, mereka tidak lagi dapat menghubungi suami masing-masing.
''Kewujudan mereka bukanlah satu kebetulan. Dokumen Shafiq ditemui dalam kenderaan pikap tertuduh pertama. Dalam satu fail yang dirampas oleh Asisten Supritendan Khoo Fei Chow menemukan Surat Kuasa Peguam di bawah nama Muthuraja.
''Menurut SP ke-33 (Siti Hamidah Karnas), dia ada melihat Shafiq dan Muthuraja datang ke ladang diikuti api besar sebagaimana dalam kes Datuk Sosilawati. Selepas itu, Shafiq dan Muthuraja tidak lagi dilihat di mana-mana.
''Oleh itu kami menghujahkan, terdapat persamaan fakta yang kesemua mereka berjumpa dengan tertuduh pertama di Ladang Gadong dan kesemua mereka hilang selepas itu,'' katanya.
Saiful Edris turut memohon mahkamah mengambil kira persamaan fakta apabila kesemua individu yang hilang itu mempunyai kaitan dengan tertuduh-tertuduh terutamanya Pathmanabhan.
''Lebih penting lagi, kehilangan Datuk Sosilawati dan tiga lagi bukanlah satu kebetulan dan mempunyai kaitan dengan kesemua tertuduh dalam kes ini,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam penggulungan hujah di akhir kes pembelaan pada perbicaraan kes bunuh Sosilawati, 47; pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Dalam kes itu, Pathmanabhan didakwa bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 21; R. Matan, 22, dan Kathavarayan, 32.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.
Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani pula menghujahkan, pihak pembelaan gagal menyangkal keterangan SP ke-62, Dr. Nurliza Abdullah yang mengesahkan sebanyak 19 daripada 26 spesimen yang dijumpai di Ladang Gadong kemungkinan besar adalah tulang manusia.
Ini kerana, pihak pembelaan tidak memanggil pakar mereka sendiri untuk menafikan penemuan tulang-tulang tersebut.
Barisan pembelaan diwakili oleh peguam-peguam bela, Pushpa Ratnam, Amer Hamzah Arshad dan Hasshari Johari Mawi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung Selasa ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130516/ma_01/Kehilangan-Sosilawati-rakan-bukan-kebetulan#ixzz2TP014h90
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment