Kedai barang lusuh kena saman
Pegawai Penyiasat, Sarjan Ngadeni Tukiran menunjukkan wayar aluminium dipercayai dicuri dirampas daripada kedai menjual barangan lusuh di Batu 8 ½, Jalan Maharajalela.
TELUK INTAN - Bukan sekali tetapi sudah tiga kali sebuah kedai membeli dan menjual barang lusuh haram di Batu 8 ½, Jalan Maharajalela diperiksa dan dikenakan saman pihak polis apabila menjumpai barangan logam dari syarikat utiliti dipercayai dicuri namun ia masih tetap beroperasi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superitendan Mohd Zaki Harun berkata, dalam pemeriksaan Ops Lusuh yang dijalankan oleh anggotanya ke atas premis tersebut, tengah hari kelmarin, pihaknya menjumpai barangan yang dipercayai dicuri telah dijual kepada pemilik kedai.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa premis telah beroperasi kira-kira tiga tahun tanpa lesen,  ada menjual dan membeli barangan besi yang dipercayai dicuri di kawasan berhampiran.

Menurutnya, dalam pemeriksaan itu, pihaknya berjaya menemui barangan tembaga  dan besi yang dipercayai dicuri  sebelum dijual kepada pemilik premis tersebut disorokkan di tempat tersembunyi daripada dapat dikesan oleh pihak berkuasa.

Katanya, pemilik premis tersebut tidak mempunyai lesen untuk menjual barangan lusuh dan pernah diberikan amaran serta disaman oleh pihaknya.

“Namun , pemilik kedai lusuh itu masih degil walaupun pernah dikenakan amaran dan saman daripada pihak kami dengan meneruskan urusan perniagaan membeli dan menjual  barangan dipercayai dicuri di daerah ini termasuk daerah berhampiran.

“Pihak kami menjumpai 10 guni  wayar aluminium yang masih bersalut dengan getah dan enam guni wayar jenis yang telah dipotong dalam saiz  lebih kecil membawa jumlah kepada 320 batang serta 66 batang tembaga,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, di sini, semalam.

Mohd Zaki berkata, selain itu, pihaknya turut merampas buku rekod jual beli daripada premis tersebut bagi membantu siasatan polis dan jumlah rampasan dianggarkan RM20,000.

Menurutnya, pemilik premis berusia 43 tahun,  turut ditahan reman selama lima hari  dan barangan yang dipercayai dicuri turut dibawa ke IPD Hilir Perak bagi  membantu siasatan pihak polis.

Katanya, Ops Lusuh yang dijalankan oleh pihaknya  akan sentiasa beroperasi berterusan dari satu ke satu masa bagi mengekang kejadian curi kabel  berlaku di daerah ini serta kawasan lain.