KOTA KINABALU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah menumpaskan cubaan menyeludup dadah jenis methamphetamine seberat 2.25 kilogram dianggar bernilai RM500,000 yang dibawa masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Pengarah Kastam Negeri Sabah Datuk Janathan Kandok berkata pemeriksaan oleh pegawai kastam di KKIA pada 27 Mei lepas berjaya mengesan dan merampas dadah itu.

"Dadah yang telah disorok di bahagian sulit beg yang telah diubah suai berjaya dikesan selepas pihak kastam membuat pemeriksaan ke atas beg seorang wanita yang berumur sekitar 40-an," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai membawa dadah itu dari India melalui penerbangan ke Changi, Singapura sebelum ke KKIA Terminal 1 dengan pesawat Silk Air SQ 5092.

"Wanita itu berasal dari Kuala Lumpur dan merupakan tenaga pengajar di sebuah sekolah antarabangsa swasta serta telah berkahwin dengan seorang lelaki warga Nigeria".

"Suspek masih ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan akan digantung sampai mati," katanya.

Janathan berkata ini merupakan tangkapan ketiga oleh pihak kastam sepanjang tahun ini.
Pada Mac lepas, kastam di Lapangan Terbang Sandakan merampas methamphetamine dan syabu yang dianggar bernilai RM1 juta dan ketamin di Lapangan Terbang Tawau bernilai RM500,000.

"Kita percaya penyeludup ini berkahwin dengan wanita tempatan sebagai keldai dadah, dan menggunakan lapangan terbang tempatan sebagai tempat untuk transit memandangkan pemeriksaan ketat pihak kastam KLIA pada ketika ini" katanya.- Bernama