Kastam rampas 9,000kg rokok
Ramli (dua, kiri) menunjukkan sebahagian rokok putih dan rokok keretek yang berjaya dirampas semasa tangkapan di R&R Ayer Keroh.
BATU PAHAT – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Daerah Batu Pahat berjaya mematahkan usaha menyeludup rokok dengan menggunakan taktik ‘lori bonded’ yang menjadi trend kes penyeludupan masa kini.

Kes tersebut berjaya dihidu 11 Mei lalu, kira-kira jam 12.15 tengah hari susulan penahanan lori 12 tan yang dipandu seorang lelaki berumur 48 tahun. Pengarah JKDM Negeri, Datuk Ramli Johari berkata, lori berkenaan diekori anggota penguatkuasa sehingga ke kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R), Ayer Keroh, arah utara, Lebuhraya Utara Selatan (Plus).

Hasil penahanan itu pihaknya berjaya menemui rokok putih dan dan rokok keretek sebanyak 5.76 juta batang dengan anggaran berat 9,000 kilogram yang bernilai RM516,680 dan cukai RM2.92 juta.

“Barangan yang dirampas ini merupakan barang larangan import di bawah Butiran 1, Bahagian II, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008 dan memerlukan lesen import JKDM di bawah Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kastam 1977.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu dengan disedarinya terlibat dalam mengangkut barang larangan dengan niat untuk mengelak daripada apa-apa larangan yang terpakai bagi barang-barang itu.

“Lelaki berkenaan kini ditahan reman selama 10 hari bermula Ahad lalu sehingga 22 Mei ini untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Daerah Batu Pahat, semalam.

Menurut Ramli, jika disabitkan kesalahan, lelaki terbabit boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai barangan dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Katanya, dia berterima kasih dengan maklumat yang diberikan dan menyeru orang ramai sama-sama memerangi jenayah penyeludupan.

Dalam pada itu Ramli berkata, sepanjang Januari hingga Mei 2013, penguatkuasaan JKDM Batu Pahat telah berjaya mematahkan sembilan kes penyeludupan rokok dan bir dengan nilai dagangan mencecah jutaan ringgit.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes penyeludupan mereka boleh menghubungi JKDM daerah atau hubungi talian bebas tol kami 1800 88 8855.

“JKDM memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan dan ganjaran akan diberikan bagi setiap maklumat yang berjaya menghasilkan kes,” katanya.