Search This Blog

Sunday, May 19, 2013

Kakitangan MPPP menyamun kerana terdesak

Georgetown: Terdesak kerana kesempitan wang, seorang kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) nekad melakukan samun di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Lebuh Pantai, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 5 pagi, suspek yang bersenjatakan sabit dan menutup muka menggunakan baju pergi ke premis berkenaan berseorangan.

Menurut sumber, suspek mengacukan sabit ke arah pekerja dan mengarahkannya supaya menyerahkan semua wang tunai yang ada.
“Bimbang dicederakan, pekerja premis terbabit kemudian menyerahkan semua wang bernilai RM40 sebelum suspek bergegas melarikan diri.

“Suspek menaiki kereta Perodua Myvi yang diletakkan di luar premis dan perbuatannya yang mencurigakan serta tergesa-gesa dilihat polis yang kebetulan meronda di situ,” katanya.

Menurutnya, polis mengejar suspek dan berjaya menahannya di satu persimpangan lampu isyarat di Lebuh Carnavon, dan hasil pemeriksaan menemui peralatan digunakan suspek ketika melakukan samun.
“Hasil pemeriksaan polis menemui sabit serta baju digunakan suspek ketika menyamun selain wang tunai yang dilarikan daripada pekerja premis.

“Suspek dibawa ke balai polis dan hasil semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya.
Menurutnya, semakan juga mendapati suspek berusia 26 tahun itu adalah kakitangan penguat kuasa MPPP serta sudah berkahwin dan tinggal di Ayer Itam.

“Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan lanjut dan tidak menolak kemungkinan suspek mengalami kesempitan wang hingga memaksanya melakukan samun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan (KK). Kita juga masih menunggu ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek,” katanya.

No comments:

Post a Comment