Search This Blog

Thursday, May 23, 2013

Kakak masih tanya arwah adik


Kuantan: Walaupun melihat sendiri jenazah Mohamad Bilal Mohd Zawawi, 14 bulan, sudah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jaya Gading, Nur Arina Damia Mohd Zawawi, 5, masih tidak dapat menerima hakikat kehilangan adik bongsunya dan sejak insiden pada Isnin lalu, dia cuba mencari jawapan sebenar termasuk bertanyakan kepada ibu bapanya.

Isnin lalu, Mohamad Bilal meninggal dunia akibat lemas selepas tertonggeng dalam baldi berisi air dalam kejadian di rumah sewa keluarganya di Taman Putra Putri, Permatang Badak di sini, dan bapa bayi malang itu, Mohd Zawawi Husain, 34, berkata, mungkin kerana terlalu sedih dan rindukan adiknya, Nur Arina masih belum dapat menerima hakikat sebenar menyebabkan mereka sekeluarga terasa kehilangannya.


“Ketika kejadian, Nur Arina bermain bersama Bilal dan seorang sepupu mereka dalam bilik tidur utama.

“Dalam sekelip mata, Bilal tiba-tiba meluru masuk ke bilik air dan tertonggeng dalam baldi menyebabkannya lemas. Mungkin dia (Nur Arina) begitu terasa kehilangan Bilal, apatah lagi mereka bermain bersama-sama sebelum adiknya itu lemas,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Mohd Zawawi, seorang pegawai bank di Kemaman, Terengganu berkata, walaupun reda dan menerima ketentuan Ilahi, isterinya, Surianti Zahari, 34, masih trauma dan sedih dengan kejadian menimpa anak bongsu mereka.


Bapa kepada tiga anak itu turut memaklumkan mereka sudah membatalkan niat untuk membeli rumah baru, sebaliknya akan terus menetap bersama ibunya di Jaya Gading di sini.

“Saya mengambil keputusan terus menetap bersama ibu dan tidak jadi membeli rumah baru di kawasan berdekatan (Permatang Badak),” katanya.


Harian Metro semalam melaporkan tragedi kira-kira dua minit meninggalkan anaknya untuk menelefon suami, seorang guru menanggung sesal seumur hidup apabila anak bongsunya berusia 14 bulan maut akibat lemas dalam baldi di rumahnya.

No comments:

Post a Comment