Juru kimpal berdepan gantung
Fauzi (kiri) keluar dari mahkamah selepas dituduh mengedar heroin, minggu lalu.
KOTA BHARU - Seorang juru kimpal berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengedar anggaran 20 gram heroin, minggu lalu.

Fauzi Md Sukri, 38, dari Pasir Hor di sini, didakwa mengedar dadah berkenaan di hadapan stesen minyak di Tunjong di sini, pada jam 5 petang, 3 Mei lalu.

Tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad, bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Fauzi didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kes berkenaan bagaimanapun ditangguhkan untuk sebutan laporan kimia berat sebenar dadah berkenaan pada 25 Julai depan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.