Jatuh ketika ambil bendera
Pemain JDT, Ahmad Tharmimi bersama wakil PBNJ dan pasukan Johor Darul Takzim menghulurkan bantuan kepada ibu mangsa.
Jatuh ketika ambil bendera
Ibu mangsa ditenangkan oleh ahli keluarga yang hadir melawat di HSA.
JOHOR BAHRU - Keghairahan seorang pemuda menyaksikan perlawanan bola sepak Separuh Akhir Pertama Piala FA 2013 antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) menentang Pahang, di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, malam kelmarin, berakhir dengan tragedi.

Kejadian berlaku selepas tamat perlawanan apabila Rosdhi Rosiman, 29, tiba-tiba terjatuh dari ketinggian kira-kira 20 meter ke luar stadium.

Difahamkan, mangsa anak kelima dari lapan beradik itu cuba mengambil bendera Johor yang diikat pada tiang besi selepas tamat menyaksikan perlawanan.

Adik mangsa, Roshanajid, 28, berkata, dia menyedari kejadian malang menimpa abangnya apabila terdengar kekecohan penonton.

“Kami duduk di kerusi penonton pada barisan paling belakang iaitu paling tinggi berbanding penonton lain. Selepas tamat perlawanan, abang cuba ambil bendera yang dibawanya dari rumah.

“Tiba-tiba, saya dengar penonton lain kecoh dan terkejut apabila mendapati abang sudah terjatuh ke luar stadium,” katanya kepada pemberita, semalam.

Roshanajid berkata, abangnya merupakan penyokong setia Harimau Selatan, namun tidak sangka rancangan mereka menyaksikan perlawanan bersama saudara dan 11 rakan akhirnya bertukar menjadi tragedi.

“Abang saya memang tidak pernah ketinggalan menyaksikan setiap perlawanan pasukan JDT. Dia akan bawa sendiri bendera pasukan negeri dari rumah sebagai tanda sokongan kepada pasukan.

“Kejadian ini amat mengejutkan kami sekeluarga. Saya tak sangka mangsa yang terjatuh ke luar stadium itu abang saya sendiri,” katanya.

Dalam keadaan terkejut itu, dia segera bergegas turun ke luar stadium untuk meninjau keadaan Rosdhi, namun mendapati abangnya sudah tidak sedarkan diri.

Abangnya segera dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan.

“Saya lihat abang sudah tidak sedarkan diri, tetapi tidak berlaku pendarahan luaran walaupun dia jatuh dari tempat yang agak tinggi.

“Abang kini sedang mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan baru sahaja selesai menjalani pembedahan di bahagian kepala, abdomen dan tulang pagi tadi (semalam),” katanya.

Ibu masih terkejut

Ibu Rosdhi masih terkejut apabila menerima perkhabaran mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu.

Dara Mahilah, 50, turut terkejut kerana tidak dimaklumkan lebih awal mengenai keadaan kritikal anaknya.

Menurutnya, dia hanya dimaklumkan mengenai keadaan Rosdhi oleh anak sulungnya sekitar jam 12.30 tengah malam dan diberitahu hanya cedera ringan.

“Mereka tipu makcik...Mereka cakap dia luka ringan. Tadi, makcik masuk ke dalam wad (ICU) dan bisik supaya kuatkan semangat.

“Makcik rasa sangat hiba tengok dia tersentak ketika makcik cium dahinya. Dia macam sedar makcik datang,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia sempat bertemu Rosdhi ketika anaknya itu datang menjenguknya, Jumaat lalu.

“Roshdi anak yang sangat baik...pada hari itu, dia cakap teringin nak jumpa makcik dan ada berikan duit RM20 sambil cium tangan makcik.

“Dia hanya balik sekejap saja dan singgah selepas pulang dari kerja. Biasanya dia tak macam tu,” katanya.

Dara berkata, sebelum menerima berita malang itu, dia kerap termenung dan berasa resah seolah-olah bakal berlaku kejadian tidak diingini.

Keresahannya  terjawab dan apa yang dirasai itu ternyata membawai petanda buruk kepada Rosdhi.

“Semalam (Sabtu) makcik ada juga tunggu dia datang, tapi dia tak datang. Makcik tidak sangka dia boleh jatuh teruk macam ni,” katanya.

Tiada unsur Jenayah

Polis menolak kemungkinan wujudnya unsur jenayah berhubung kes Roshdi yang cedera terjatuh.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, siasatan awal menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah dilaporkan dan mangsa kini masih koma.

“Ketika kejadian mangsa lengkap berpakaian jersi Johor Darul Takzim (JDT) dan masih sedar ketika di bawa ke hospital,” katanya.

Sementara itu, wakil kelab penyokong Johor Fan Club, Mardiana Baduri bersama tiga pemain Johor Darul Takzim iaitu Kapten pasukan, Kamarul Afiq Kamarudin, Ahmad Tharmimi Saiban dan Mohd Tuah Iskandar Jamaluddin sempat meluangkan masa melawat mangsa bersama keluarga di hospital.