Hijrah untuk edar dadah
Paramasivam (dua kanan) bersama Roslan (dua kiri) menunjukkan pistol dan dadah yang dirampas pada serbuan yang dilakukan malam kelmarin.
IPOH - Memilih pengedaran dadah sebagai kerjaya sampingan untuk mendapatkan pendapatan tambahan, seorang penjaga kuda sanggup berhijrah dari Kuala Lumpur ke Ipoh semata-mata untuk menjalankan kegiatannya itu.

Bagaimanapun, kegiatan lelaki berusia 27 tahun yang berasal dari Taman Segambut, Kuala Lumpur itu berakhir apabila dia dicekup sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam memaklumkan, suspek ditahan di rumahnya di Kampung Cheh, Tanjung Rambutan di sini, dalam satu serbuan pada jam 11 malam.

Menurut beliau, suspek dipercayai sedang berehat dalam sebuah bilik dalam rumah berkenaan semasa serbuan dilakukan.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan, kita menemui 16 paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki jenis heroin seberat 42 gram.

"Semua dadah yang dianggar bernilai lebih RM1,200 disembunyikan dalam beg pinggang milik suspek dan dipercayai mahu dijual kepada penagih dadah, terutama di sekitar Tanjung Rambutan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua JSJN, Asisten Komisioner Roslan Abd Wahid.

Dalam perkembangan sama, Parasivam memaklumkan, polis turut menemui sepucuk pistol jenis Baretta Model 21A bersama satu kelopak peluru kosong.

"Tiada peluru ditemui dalam kelopak peluru itu dan suspek kemudiannya diarah menjalani ujian air kencing. Suspek didapati positif mengambil dadah jenis syabu.

"Suspek pernah didakwa di mahkamah sebelum ini atas jenayah berkaitan dadah pada 2011 dan dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan sebelum dibebaskan pada Julai tahun lalu," katanya.

Katanya, suspek kini ditahan reman sehingga 20 Mei bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 33 Akta Senjata Api 1960.