Search This Blog

Thursday, May 23, 2013

Hanya 24 maut dalam kejadian puting beliung


Standy Stewart (kanan) dan menantunya yang mengandung, Robyn Rojas, menjamah makanan di tengah-tengah puing rumah mereka yang musnah akibat puting beliung di Moore, Oklahoma, Amerika Syarikat, kelmarin. - AFP
OKLAHOMA, Amerika Syarikat 22 Mei - Operasi mencari mangsa yang terbunuh atau terselamat dalam kejadian puting beliung di Moore di sini, hampir selesai selepas 24 orang termasuk sembilan kanak-kanak disahkan terbunuh dalam bencana tersebut.
Jumlah kematian keseluruhan diturunkan daripada 51 orang kepada 24 selepas pasukan perubatan mengesahkan sejumlah nama mangsa dikira sebanyak dua kali.
Sehingga semalam, kira-kira 240 orang masih dirawat di hospital-hospital berdekatan.
Ketua Pasukan Bomba Moore, Gary Bird berkata, operasi yang dijalankan hampir 24 jam itu akan dihentikan selepas pihaknya yakin tiada lagi mayat atau mangsa yang terselamat tertimbus di bawah runtuhan rumah atau bangunan.
Pihak berkuasa memberi tumpuan sepenuhnya dalam operasi mencari dan menyelamat di sepanjang laluan puting beliung berkenaan dan anggaran kerugian akibat kejadian itu masih belum dapat dipastikan.
Jumlah rumah yang musnah masih tidak diketahui dan begitu juga dengan jumlah keluarga yang dipindahkan.
Pasukan kecemasan mengalami kesukaran untuk tiba ke lokasi bencana disebabkan kesemua papan tanda arah diterbangkan dalam kejadian puting beliung itu.
Dalam pada itu, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan menganggarkan puting beliung yang melanda Oklahoma City membawa angin selaju 320 kilometer sejam dan dikategorikan sebagai EF5.
Saintis berkata, puting beliung yang melanda bandar berkenaan selama 40 minit itu berukuran hampir satu kilometer lebar dan merupakan kategori EF5 yang pertama pada tahun ini.
Sementara itu, Presiden Barack Obama menyatakan kesedihannya berhubung kejadian itu, lebih-lebih lagi dengan berita kematian kanak-kanak sekolah yang cuba mencari tempat perlindungan.
Obama turut memberi jaminan bahawa kerajaan Persekutuan akan menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana tersebut. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130523/lu_04/Hanya-24-maut-dalam-kejadian-puting-beliung#ixzz2U4Ejgu8I
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment