Search This Blog

Thursday, May 30, 2013

Guna khidmat tongkang


Miri: Selepas usaha menarik bangkai bot ekspres yang karam gagal apabila tali diikat pada tongkang terputus, pasukan operasi mencari dan menyelamat terpaksa menggunakan khidmat tongkang kren pengusaha balak untuk meneruskan usaha itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Liwan Lagang berkata, pihaknya akan cuba mengadakan perjumpaan dengan pemilik tongkang yang juga pengusaha balak di Belaga terlebih dulu.


Katanya, langkah itu berikutan usaha menarik bot ekspres itu menggunakan tongkang pada jam 1 petang semalam gagal, sekali gus memaksa menggunakan alternatif lain termasuk operasi menyelam bagi mengesan mangsa yang mungkin terperangkap.

“Saya akan ke Belaga bagi mendapatkan bantuan daripada pemilik kem pembalakan terbabit kerana hanya mereka mempunyai tongkang yang mempunyai kemudahan kren bagi membantu operasi ini secepat mungkin,” katanya.


Setakat ini, gerakan mencari dan menyelamat dibuat menggunakan 10 bot termasuk bot laju, lima kenderaan darat dan sebuah helikopter membabit pelbagai agensi kerajaan.


Dalam pada itu, Liwan berkata, sehingga jam 1.30 petang semalam, seramai 173 mangsa bot ekspres karam disahkan selamat dan hanya 11 yang masih hilang.

No comments:

Post a Comment