Search This Blog

Thursday, May 23, 2013

Geng Botak tumpas di Perak


MOHD. Shukri Dahlan (tengah) menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas anggota polis dari Geng Botak ketika mengadakan sidang akhbar di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ROY AZIS ABDU. AZIZ
IPOH 22 Mei - Empat anggota 'Geng Botak' yang dipercayai terlibat dalam kegiatan samun ditahan dalam sekatan jalan raya di susur keluar plaza tol Kuala Kangsar awal pagi semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahalan berkata, mereka ditahan semasa sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar mengadakan sekatan jalan raya berhampiran plaza tol berkenaan pada pukul 2.30 pagi.
Beliau berkata, pihak polis turut menyita kereta yang dinaiki mereka serta merampas dua pucuk pistol tiruan bersama kelopak pelurunya, dua unit walkie-talkie, sebuah komputer riba, seutas gari, 16 buah telefon bimbit, sebatang Allen Key serta sehelai topeng mulut.
Kumpulan ini yang diketuai seorang lelaki berkepala botak yang berumur 38 tahun berserta tiga anggota yang berumur antara 16 hingga 34 tahun dipercayai terbabit dalam 20 kes samun butik, kedai runcit dan serbaneka.
"Mereka dipercayai menjalankan kegiatan jenayah secara aktif di sekitar Perak, Kuala Lumpur dan Selangor sejak setahun lepas. Kumpulan ini menggunakan kereta sewa bagi mengelak dikesan dan pistol tiruan bagi menakutkan mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Shukri berkata, tiga orang daripada kumpulan itu memiliki rekod jenayah lampau kecuali remaja yang berusia 16 tahun yang sudah tidak bersekolah lagi.
"Lelaki yang berusia 34 tahun mempunyai dua rekod jenayah manakala yang berumur 24 tahun juga memiliki dua rekod jenayah berkaitan mencuri dan rogol.
Ketua mereka yang berkepala botak pula ada lapan rekod jenayah lampau antaranya empat rekod jenayah rogol dan satu kes mencuri," katanya.
Keempat-empat mereka yang berasal dari Ipoh direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130522/je_06/Geng-Botak-tumpas-di-Perak#ixzz2U4Gi1EVo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment