Search This Blog

Thursday, May 23, 2013

Geng Botak diberkas dalam sekatan jalan raya


Ipoh: Seorang perogol bersiri yang juga ketua kumpulan perompak digelar ‘Botak’, berjaya diberkas polis selepas membawa tiga konconya untuk melakukan rompakan menggunakan pistol palsu awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, suspek berusia 38 tahun terbabit yang menubuhkan kumpulan penjenayah ‘Geng Botak’ diberkas polis dalam satu sekatan jalan raya berhampiran susur keluar Plaza Tol Kuala Kangsar.


Tiga lagi anggota kumpulan itu berusia antara 16 hingga 34 tahun turut diberkas ketika menaiki sebuah kereta model Proton Wira dan dipercayai dalam perjalanan dari Ipoh melalui Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) ke Kuala Kangsar untuk merompak kedai serbaneka 24 jam.

Difahamkan sebelum ini, kumpulan itu dikesan terbabit dalam 20 kes samun premis perniagaan 24 jam di sekitar Perak, Selangor dan Kuala Lumpur sejak setahun lalu. Ketua Polis negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, pihaknya mengesahkan berjaya memberkas ketua kumpulan itu yang amat dikehendaki polis sejak setahun lalu.


Beliau berkata, pemeriksaan lanjut yang dilakukan pada kenderaan dinaiki suspek turut menemui dua pistol palsu berwarna hitam dan kelopak peluru palsu, dua unit walkie-talkie model Kenwood, sebuah komputer riba jenama Acer, satu gari jenama ‘The Smits Handcuff co’, 16 telefon bimbit pelbagai jenama, sebatang kunci pelbagai guna yang ditajamkan serta satu topeng mulut warna hitam.


“Siasatan awal mendapati, kumpulan berkenaan mensasarkan rompakan dan samun terhadap butik serta premis perniagaan khususnya yang beroperasi 24 jam sekitar daerah Ipoh, Manjung dan Perak Tengah di Perak serta di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Mereka bergerak menggunakan kereta yang disewa dengan seorang menunggu dalam kenderaan, seorang memegang walkie-talkie memantau keadaan manakala dua orang lagi melakukan rompakan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment