Search This Blog

Thursday, May 23, 2013

Enam ditahan, barang samun RM200,000 dirampas


SHAH ALAM 22 Mei - Polis menahan lima lelaki dan seorang wanita, kurang lima jam selepas mereka memecah masuk sebuah banglo di Seksyen 15 di sini, awal pagi semalam.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai turut terlibat dengan kegiatan samun rumah adik perempuan kepada seorang pegawai kanan polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Mantin, Negeri Sembilan pada 19 Mei lalu.
Dalam serbuan semalam itu di sebuah rumah di Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas Klang di sini pada pukul 9.30 pagi, polis menahan pasangan suami isteri berasal dari Sabah serta empat lelaki warga asing. Kesemuanya berusia antara 25 hingga 38 tahun.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, dalam serbuan tersebut, polis menemukan wang tunai RM43,000, 22 utas jam tangan pelbagai jenama, 18 buah telefon bimbit, tiga bilah parang, dua buah komputer riba jenis Apple dan pelbagai jenis barang kemas yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM200,000.
"Pemeriksaan awal mendapati sebahagian barangan tersebut dipercayai kepunyaan pemilik rumah banglo yang disamun semalam.
"Kita akan memanggil mangsa untuk membuat pengecaman ke atas barangan yang dirampas dalam masa terdekat.
"Buat masa ini, kita masih menjalankan siasatan lanjut ke atas semua suspek untuk mengenal pasti sama ada mereka terlibat dengan kes pecah masuk di sekitar Selangor dan sudah berapa lama mereka melakukan kegiatan tersebut," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Thaiveegan berkata, pihaknya juga sedang melakukan pemeriksaan bagi memastikan kesahihan dokumen perjalanan suspek yang kesemuanya didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
"Suspek ditahan reman bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata," katanya.
A.Thaiveegan (kanan) diiringi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Adnan Abdullah (kiri) melihat barangan curi yang di temui semula pada sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, semalam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130523/je_01/Enam--ditahan-barang-samun-RM200000-dirampas#ixzz2U4FhTnUA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment