Empat maut, 10 terperangkap lombong runtuh
Anggota penyelamat mencari mangsa di lombong Grasberg, Timika.
TIMIKA - Sekurang-kurangnya empat mayat ditemui manakala lebih 10 pekerja masih terperangkap di bawah runtuhan terowong lombong tembaga di timur Indonesia.

Jurucakap polis, Gede Sumerta Jaya berkata, seramai 27 pekerja dikeluarkan daripada kawasan runtuhan lombong Grasberg milik McMoRan Copper & Gold Inc yang beribu pejabat di Amerika Syarikat di daerah Mitika, timur Papua.

“Kesemua mangsa diselamatkan mengalami luka dan patah tulang. Sehingga kini operasi mencari dan menyelamat dilakukan penuh waspada bagi mengelakkan runtuhan berlaku kerana bentuk muka bumi kawasan lombong mudah jerlus,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian seramai 40 pekerja sedang melakukan kerja-kerja penggalian dan pengeboman di kawasan itu.

Sementara itu, di Jakarta, seorang individu ditembak mati anggota polis selepas melakukan serangan dengan membaling bom buatan sendiri di bandar Chanthaburi, wilayah barat Jawa.

Jurucakap pegawai polis, Boy Rafli Amar berkata, ketika kejadian, lelaki itu melemparkan bom berkenaan ke arah dua anggota polis yang sedang bertugas bagaimana pun bom berkenaan tidak meletup.

“Lelaki itu dipercayai terlibat dalam kumpulan pengganas yang sedang diburu,” katanya. - Jakarta Post