Search This Blog

Tuesday, May 14, 2013

Drebar bernasib baik terhidu bau hangit



Tanah Merah: Tindakan pantas seorang pemandu memberhentikan treler 50 tan dipandu selepas menghidu bau hangit berjaya menyelamatkannya daripada rentung dalam kebakaran berhampiran masjid di Kampung Bukit Bunga, di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu menyebabkan treler terbabit hangus membabitkan kerugian kira-kira RM150,000.


Pemandu lori terbabit, Aziz Daud, 42, berkata, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu selepas menurunkan muatan batu kerikil di Kampung Bukit Lakota, Jeli.

Katanya, selepas 20 minit perjalanan, dia terhidu bau hangit dan dengan segera memberhentikan kenderaan berat itu di bahu jalan.


“Sebaik berhenti, saya bergegas turun untuk menyelamatkan diri, namun terpaksa naik semula kerana tertinggal dompet serta lesen memandu.


“Dalam keadaan cemas itu, saya cuba melihat apa yang berlaku di bahagian depan treler, namun api sudah membakar bahagian enjin,” katanya.

Katanya, dia cuba mendapatkan alat pemadam api dari sebuah kedai berhampiran sebelum dibantu penduduk sekitar.


“Saya bersyukur kerana masih selamat dan ia pengalaman pertama sejak menjadi pemandu lebih dua puluh tahun lalu,” katanya. Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Tanah Merah Malik Omar berkata, seramai lima anggota bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.30 petang.

Katanya, sebaik tiba, treler terbabit didapati sudah 80 peratus terbakar dan mereka mengambil masa 10 minit bagi memadam kebakaran.


“Kami masih menyiasat punca kejadian,” katanya.

No comments:

Post a Comment