Search This Blog

Thursday, May 16, 2013

Ditetak tegur 5 lelaki ganggu juruhebah



Klang: Hanya kerana tindakannya menegur lima lelaki yang cuba mengganggu seorang juruhebah di sebuah majlis perkahwinan, seorang lelaki terpaksa menerima ‘habuan’ apabila cedera ditetak di kiri kepala, Ahad lalu.

Sebelum kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori menghadiri majlis perkahwinan rakannya di sebuah kawasan perumahan Bukit Raja, di sini dan ternampak kelibat sekumpulan lelaki yang mengganggu juruhebah majlis berkenaan.


Menurut sumber, disebabkan enggan majlis perkahwinan rakannya itu tergendala dengan tindakan suspek, mangsa menghampiri mereka sebelum menasihati agar tidak terus melakukan perbuatan itu.

Bagaimanapun, tindakan mangsa menasihati mereka tidak disenangi kumpulan berkenaan sebelum berlaku pertengkaran.


“Selepas beberapa minit bertikam lidah, kumpulan lelaki terbabit meninggalkan majlis berkenaan menyebabkan mangsa beranggapan masalah itu sudah berakhir dan majlis kembali berjalan seperti biasa.


“Namun, beberapa minit kemudian, tiga daripada suspek tiba-tiba muncul semula di majlis perkahwinan berkenaan sambil masing-masing memegang parang,” katanya.

Katanya, belum sempat mangsa mendapatkan penjelasan, ketiga-tiga suspek menetak kepala mangsa sebelum melarikan diri selepas berlakunya kekecohan di tempat kejadian.


Menurutnya, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu menghubungi polis kerana bimbang ia akan menjadi lebih serius sebelum sepasukan polis tiba di tempat kejadian.

“Sebaik tiba, polis melihat keadaan mangsa yang cedera di bahagian kepala manakala suspek melarikan diri. Laporan kejadian turut dibuat di Balai Polis Bukit Raja.


“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut,” katanya.


Sementara itu, jurucakap polis sewaktu dihubungi semalam mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada mangsa dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.

No comments:

Post a Comment