Dadah: 3 lelaki, seorang wanita ditahan
Toon Khuan ketika sidang media di IPK Pahang, semalam.
KUANTAN - Tiga lelaki dan seorang wanita dipercayai terlibat dengan kes penyalahgunaan dadah ditahan dalam tiga operasi berasingan yang dilakukan di sekitar Kuantan, di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Pahang, Superitendan Yap Toon Khuan berkata, dalam serbuan pertama di Bukit Setongkol, seorang lelaki berusia 22 tahun cuba menyembunyikan peket dadah di dalam mulut tetapi berjaya dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya, susulan penangkapan itu, dua lelaki berusia 18 dan 19 tahun turut ditahan di kawasan berkenaan.

“Tiga jenis dadah dijumpai bersama suspek pertama iaitu 0.3 gram ganja, 0.5 gram syabu dan heroin seberat 15.4 gram yang bernilai kira-kira RM3,080.

“Suspek dipercayai melakukan pengedaran dadah dan turut mengambilnya untuk kegunaan sendiri berdasarkan hasil ujian air kencing yang didapati positif dadah.

“Hasil pemeriksaan fizikal terhadap dua lagi suspek mendapati tiada bahan terlarang ditemui tetapi didapati ia disembunyikan di dalam beg pakaian di dalam bilik iaitu dua peket plastik lutsinar besar dan 20 peket plastik lutsinar kecil yang setiap satunya berisi serbuk ketulan disyaki dadah jenis heroin seberat 124 gram.

“Hasil siasatan bekalan dadah bernilai kira-kira RM24,800 itu dibawa masuk dari ibu negara untuk diedarkan di sekitar Kuantan.

“Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut bermula pada tarikh penahanan iaitu 10 Mei 2013,” katanya pada sidang media di IPK di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, dalam serbuan yang dilakukan di Kawasan Perindustrian Semambu, dadah jenis Heroin seberat 60 gram dengan anggaran nilai RM12,000 turut dirampas daripada seorang wanita berusia 41 tahun.

“Pada 11 Mei 2013 iaitu pada jam 3 petang satu serbuan dilakukan di Kawasan Perindustrian Semambu berjaya menangkap seorang wanita dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

“Ketika dihampiri, suspek dilihat memegang objek bewarna merah sebelum cuba membuang tetapi sempat dirampas.

“Hasil pemeriksaan objek tersebut adalah satu beg bewarna merah mengandungi satu peket plastik lutsinar berzip disyaki dadah jenis heroin.

“Hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek yang berasal dari Kuala Lumpur dan bekerja sebagai peniaga kain itu positif dadah.

“Kesemua kes ini disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan keempat-empat suspek boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,”
katanya.