Search This Blog

Tuesday, May 14, 2013

Cabaran ‘Neraka Lumpur’



SEMANGAT berpasukan merupakan perkara penting bagi para peserta untuk menamatkan Cabaran Lumpur. - AGENSI
BERLUMBA di kawasan berlumpur bukan satu perkara mudah.Itu diakui oleh peserta-peserta Lumba Lumpur Maldon yang diadakan setiap tahun di Maldon, Essex England.
Kebiasaannya perlumbaan mencabar itu berlangsung pada Disember dan Januari, namun baru-baru ini, ia diadakan pada 5 Mei lalu ekoran paras air sungai tinggi sepanjang tempoh dua bulan ini.
Dalam pertandingan baru-baru ini, kira-kira 300 peserta menghabiskan masa hujung minggu dengan berlumba di laluan berlumpur sejauh 400 meter di tebing Sungai Blackwater.
Uniknya, perlumbaan tersebut tidak menetapkan pakaian khas untuk bertanding, sebaliknya para peserta diberi kebebasan memakai pelbagai jenis pakaian semasa berlari meredah lumpur.
Ada yang memakai pakaian pengantin, kostum watak superhero, pakaian renang dan juga berbogel!
Kegilaan meredah laluan berlumpur dapat dirasai apabila peserta merangkak sejauh beberapa meter untuk melepasi garisan penamat, lebih-lebih lagi dengan pakaian kostum yang menjadi berat akibat disaluti lumpur.
Asalnya, acara yang diasaskan pada 1973 diadakan untuk restoran tempatan bersaing membawa hidangan meredah kawasan lumpur dengan berpakaian tuksedo.
Namun cara pertandingan berubah mengikut peredaran zaman dan ia dikendalikan oleh kelab amal, Rotary and Lions dan Majlis Perbandaran Maldon untuk mengutip derma yang disalurkan pada pusat kebajikan.
Berbeza dengan suasana di Northamptonshire, pertandingan perlumbaan yang menggunakan konsep hampir sama dikenali sebagai Cabaran Lumpur menyaksikan 14,000 peserta mengambil bahagian mengharungi laluan berlumpur sejauh 17.7 kilometer dengan 22 jenis halangan berasaskan latihan ketenteraan untuk tentera khas Britain.
Pertandingan yang disifatkan sebagai ‘neraka lumpur’ itu menjadi idaman peminat sukan ekstrem untuk menamatkan cabaran walaupun tiada hadiah lumayan ditawarkan.
Lebih menggerunkan, peserta perlu meredah laluan berapi, air yang sejuk, memanjat dinding 3.65 meter, merangkak di dalam terowong berlumpur dan cabaran paling menakutkan, terpaksa meredah laluan berwayar yang mempunyai cas tenaga elektrik setinggi 10,000 voltan!
Dalam pertandingan itu, semangat berpasukan merupakan elemen penting bagi peserta untuk menamatkan cabaran kerana hampir mustahil mereka dapat melakukan seorang diri.
Kebiasaannya hanya 78 peserta menamatkan cabaran dengan purata masa selama dua setengah jam.
Naib Presiden Cabaran Lumpur Britain, Sarah Harvey berkata, acara yang diadakan setiap tahun ini bukan soal kemenangan atau persaingan tetapi kerjasama yang ditunjukkan.
“Mereka perlu melalui rintangan yang memerlukan semangat berpasukan untuk menamatkan cabaran," katanya.
Cabaran Lumpur yang diasaskan pada Mei 2010 oleh rakyat Britain, Will Dean dan Guy Livingstone telah mendapat perhatian di Amerika, Australia dan Britain dengan disertai kira-kira sejuta peserta seluruh dunia.
Jumlah peserta Cabaran Lumpur juga semakin mendapat sambutan di Britian dengan penganjuran ditambah daripada tiga kali kepada enam kali tahun ini.
Cabaran seterusnya akan diadakan di London Selatan bertempat di Matterley Bowl dekat Winchester pada 8-9 Jun ini. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130512/lu_02/Cabaran-Neraka-Lumpur#ixzz2TDKapkfW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment