Bumbung rumah rosak dipukul ribut
Bahagian bumbung rumah Md Yasin di Felda Bukit Damar yang rosak akibat ribut malam kelmarin.
TEMERLOH – Empat rumah peneroka Felda Bukit Damar mengalami kerosakan kecil akibat kejadian ribut yang berlaku tengah malam kelmarin.

Salah seorang mangsa, Md Yasin Abdul Rashid, 57, berkata, kejadian berlaku serentak dengan hujan lebat kira-kira jam 11 malam ketika dia bersama keluarga sedang menonton televisyen.

“Cuaca tiba-tiba sahaja berubah dengan ribut petir dan hujan lebat kira-kira sejam, masa itu angin kuat  hingga menyebabkan paku pada atap rumah tercabut.

“Keadaan makin teruk apabila air hujan masuk ke dalam rumah dan kami terpaksa tadah pula dengan beberapa bekas plastik,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Md Yasin berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, Hasmah Awang, 58, serta dua anak berada dalam rumah dan mujur tidak berlaku kejadian yang lebih teruk.

“Pagi ini (semalam) saya periksa terdapat tiga rumah lain di kawasan sekitar rumah saya yang turut rosak akibat ribut.

“Saya sudah buat laporan polis dan juga kepada pengurusan Felda mengenai apa yang berlaku,” katanya.

Md Yasin berkata, akibat kejadian itu dia mengalami kerugian kira-kira RM4,000 dan berharap ada bantuan daripada kerajaan.