BELAGA - Gerakan mencari dan menyelamat mangsa bot ekspres yang karam di Tanjung Giam Bungan, Sungai Rajang dekat sini, diteruskan pagi ini bagi mengesan mangsa yang masih hilang.
Anggota Dewan Undangan Negeri Belaga, Liwan Lagang berkata operasi yang bermula 7 pagi itu menumpukan kepada usaha menarik dan mengangkat bot berkenaan bagi memudahkan gerakan mencari mangsa yang mungkin terperangkap.
"Hari ini kita akan gunakan tongkang yang lebih besar untuk menaikkan dan menarik bot ekspres yang tenggelam itu. Semalam kita gagal mungkin kerana tongkang sedikit kecil dan tidak mempunyai kekuatan mencukupi," katanya kepada Bernama.
Polis Sarawak semalam mengesahkan 192 mangsa selamat dan 11 masih hilang. - Bernama