Search This Blog

Wednesday, May 15, 2013

Bot bawa 150 etnik Rohingya karam



Yangon: Sebuah bot membawa sekurang-kurangnya 150 rakyat Rohingya yang cuba mengelak dari taufan dilaporkan karam di luar pantai Myanmar semalam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, kejadian berlaku ketika taufan Mahasen mengancam negeri Rakhine yang sentiasa dilanda banjir.
Bot terbabit dilaporkan hilang pada malam kelmarin selepas ia meninggalkan bandar Pauktaw, kata jurucakap Pejabat PBB bagi Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan.

Mangsa hilang tak diketahui

Beliau juga berkata, bilangan yang hilang masih belum diketahui disebabkan mereka berpindah ke kem lain bagi mengelak taufan. Laporan lain mengatakan, 42 penumpang bot terselamat.

Kira-kira 140,000 penduduk hilang tempat tinggal berikutan keganasan tahun lalu tinggal di dalam khemah atau rumah mudah alih di Rakhine, mencetuskan kebimbangan angka korban meningkat.

Taufan Mahasen kini dilaporkan berada di Teluk Benggala. Ia dijangka tiba berhampiran sempadan Myanmar-Bangladesh pada malam esok, menurut laporan Jabatan Meteorologi dan Hidrologi Myanmar.
Tentera dikerah

Pegawai tempatan berkata, tentera Myanmar dikerah untuk membuat persediaan menghadapi taufan dengan membantu usaha memindahkan beribu-ribu penduduk yang hilang tempat tinggal dan tinggal di kawasan pantai yang rendah.

Kebanyakan mereka yang berisiko tinggi adalah penduduk Rohingya yang menjadi mangsa keganasan agama sejak Jun tahun lalu.


Penduduk Rohingya jadi mangsa

“Jika kerajaan gagal memindahkan golongan yang paling terancam, sebarang bencana berpunca daripada kesilapan sendiri,” kata Pengarah Asia Human Right’s Watch, Brad Adams.

Amaran itu mengingatkan semula kepada kesan taufan Nargis yang memusnahkan Lembah Irrawaddy pada Mei 2008 selain menyebabkan 140,000 orang maut.

Agensi penilaian bencana PBB berkata, persediaan sudah dilakukan untuk memberi perlindungan kepada 13,000 orang di Sittwe ketika ramai bimbang khemah penduduk boleh musnah diterbangkan angin.

Ada juga penduduk enggan berpindah kerana tiada tempat yang boleh dituju.

“Kami amat bimbang dengan taufan itu. Kami juga tidak ada cukup makanan. Ramai yang bermasalah sama tetapi tiada idea buat apa,” kata seorang penduduk.

AFP

No comments:

Post a Comment