Bongkah batu besar tiba-tiba jatuh atas laluan
Bongkah batu yang didakwa jatuh secara tiba-tiba mencetuskan cemas dalam kalangan pengguna.
RAUB – Bongkah batu besar tiba-tiba jatuh daripada lereng bukit mencetuskan suasana cemas pemandu kenderaan yang melalui kawasan Jalan Gap – Tras, ketika hujan berserta angin kuat, kira-kira jam 3 petang, baru-baru.
Pengguna, Adli Adzamin Hussin, 40-an, berkata, kejadian bongkah batu besar jatuh itu berlaku di depan matanya sendiri ketika dia dalam perjalanan ke Bandar Raub.

"Saya memandu lori dan tiba-tiba bongkah batu besar jatuh kira-kira 50 meter di hadapan saya.

"Memang saya cemas pada masa itu kerana bimbang akan jatuh lagi beberapa batu besar yang boleh mengancam keselamatan," katanya.

Menurutnya, dia bertindak memberhentikan lori dipandu seketika bagi memastikan keadaan jalan di lereng bukit itu selamat sebelum meneruskan perjalanan.

"Apabila keadaan benar-benar selamat dan yakin tiada lagi bongkah batu yang jatuh barulah saya terus perjalanan.

"Namun, kelmarin ketika melalui jalan sama untuk urusan kerja, bongkah batu besar itu masih kelihatan dan keadaan itu boleh membahayakan pengguna terutama waktu malam kerana pandangan yang terhad," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pengguna laluan terutama yang mahu ke Bukit Fraser perlu lebih berhati-hati terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu kerana dikhuatiri bongkah batu yang boleh jatuh tiba-tiba.

“Bagi individu biasa menggunakan jalan di sini, pasti mengetahui keadaan lereng bukit yang tinggi dan sebarang kemungkinan boleh berlaku termasuk kejadian bongkah batu besar jatuh seperti ini.

“Selain mengharapkan perhatian dan tindakan pihak berkuasa tempatan, pemandu juga perlu berhati-hati untuk mengelak sebarang kecelakaan termasuk yang berpunca daripada bencana alam semula jadi,” katanya.