Beritahu ibu diri diculik
Vijaya memohon kerjasama orang ramai membantu mengesan anak perempuannya yang hilang sejak 24 April lalu. Gambar kecil: Sarmila Devi.
PUCHONG – “Sarmila ada hubungi saya selepas dua hari dia hilang, dia menangis minta tolong tetapi panggilan itu terputus dan sehingga kini saya gagal menghubunginya semula,” kata P Vijaya Barathy, 40, ibu kepada seorang remaja yang dilaporkan hilang sejak 24 April lalu.

Kata Vijaya, kali terakhir dia bertemu anaknya C Sarmila Devi selepas menghantar remaja perempuan berusia 17 tahun itu ke tempat kerjanya di sebuah pasar raya di Bandar Bukit Puchong.

Dakwanya, ketika hari anaknya dilaporkan hilang, pihak pasar raya ada menghubunginya dan memberitahu anaknya tidak masuk kerja kembali selepas rehat selama sejam.

Menurutnya, dia yang berasa tidak kena kemudian ke tempat anaknya bekerja dan mencari di sekitar kawasan namun gagal menemuinya.

Vijaya berkata, selepas dua hari hilang, Sarmila menghubunginya dan menceritakan apa yang terjadi sambil menangis teresak-esak.

Katanya, anak perempuannya memaklumkan dia ditarik masuk dua lelaki ke dalam sebuah kereta ketika berdiri di tepi tempat letak kereta pasar raya itu.

“Apabila saya tanya di mana dia berada, dia mendakwa tidak tahu sebelum panggilan telefon terputus secara tiba-tiba. Berulang kali saya cuba hubunginya selepas itu namun usaha berkenaan gagal kerana telefon bimbit dimatikan,” katanya.

Vijaya berkata, dalam perbualan tidak sampai empat minit itu dia tidak sempat bertanya keadaan anak keduanya daripada enam beradik itu.

Jelasnya, dia dan keluarga kini bimbang nasib dan keselamatan anak perempuannya itu selepas enam hari hilang.

Tambahnya lagi, Sarmila tidak pandai keluar bersendirian dan dia sendiri menghantar dan menjemput anaknya dari tempat kerja.

“Sarmila sepatutnya menyambung pelajaran di sebuah kolej September ini selepas menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), sekarang saya bimbang keselamatannya dan dapat rasakan dia dalam keadaan ketakutan,” katanya ketika mengadukan perkara itu kepada Ketua Biro Aduan Puchong, Kuan Chee Heng.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan mangsa diminta menghubungi Vijaya di talian 016-9745182 atau suaminya  019-9271948.

Sementara itu, Chee Heng berkata, beliau akan mengarahkan ahli Kepolisan Masyarakat (CP) dalam usaha membantu mencari mangsa.