Search This Blog

Thursday, May 16, 2013

Berhutang ah long RM632,000



Mohan Singh Tara Singh menunjukkan barang rampasan berkaitan promosi perkhidmatan yang ditawarkan oleh ah long di Ibu Pejabat Daerah Cheras, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 14 Mei - Gara-gara berhutang RM40,000 dengan seorang ah long tahun lalu, seorang pengarah sebuah syarikat pelancongan akhirnya terpaksa berhutang dengan 12 lagi ah long membabitkan keseluruhan hutang berjumlah RM632,000.
Segala-galanya bermula selepas wanita berusia 35 tahun itu meminjam RM40,000 daripada sebuah syarikat ah long untuk memajukan syarikatnya.
Bagaimanapun, disebabkan faedah yang terlalu tinggi, mangsa terpaksa berhutang dengan ah long lain sehingga jumlah hutangnya meningkat menjadi ratusan ribu ringgit.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, faedah yang dikenakan ah long pertama adalah sebanyak 10 peratus seminggu dan kenaikan tidak munasabah itu memaksa dia berhutang dengan ah long lain untuk melunaskan bayaran terbabit.
"Akibat daripada itu, mangsa kini berhutang keseluruhan sebanyak RM632,000 meskipun dia telah membayar hutang hampir RM100,000. Jumlah yang telah dibayar itu jauh lebih kecil daripada wang dipinjamnya.
"Semuanya disebabkan mangsa gagal membayar hutang pada masa yang ditetapkan dan faedah 10 peratus seminggu telah menambah jumlah hutang yang ditanggungnya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini hari ini.
Mohan Singh seterusnya berkata, akibat tekanan hidup dan sering diugut ah long-ah long berkenaan, mangsa akhirnya melaporkan perkara itu kepada pihak polis pada 4 April lalu.
"Hasil siasatan, polis telah menahan seramai 10 orang lelaki berusia 25 hingga 35 tahun dalam dua serbuan di sebuah rumah teres dan kondominium di Puchong, Khamis lalu.
"Mereka ini dipercayai aktif melakukan penipuan peminjaman wang selain beroperasi tanpa lesen di sekitar Cheras. Siasatan juga mendapati ah long itu juga tidak mengikuti syarat pinjaman wang seperti yang ditetapkan ketika mengutip hutang.
"Mengikut undang-undang, setiap syarikat pinjaman wang hanya boleh mengenakan faedah pinjaman sebanyak 18 peratus setahun bagi pinjaman tanpa cagaran atau 12 peratus setahun bagi pinjaman bercagar. Tetapi sindiket ini membuat kenaikan faedah sejumlah 10 peratus bagi setiap minggu," katanya.
Beliau memberitahu, dalam serbuan itu juga polis merampas lima buah buku berkulit tebal yang mengandungi pelbagai butiran peminjam dan penyata kira-kira serta 383 keping kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
"Polis masih mengesan lima lagi individu yang dipercayai turut terbabit dalam kes itu dan seorang yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 16(A) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130515/je_05/Berhutang-ah-long-RM632000#ixzz2TP2CXfmW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment