Bayar RM270 setahun, pati dijanjikan kebal tindakan pihak berkuasa
Pejabat operasi kad oren dan program 6P yang diserbu Jabatan Imigresen, kelmarin.
Bayar RM270 setahun, pati dijanjikan kebal tindakan pihak berkuasa
Kad 6P haram yang dikeluarkan tidak diiktiraf KDN. Gambar atas: Bahagian belakang kad oren.
KAJANG - Hanya dengan bayaran serendah RM270 setahun dan diberikan kad identiti berwarna oren, warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah atau tidak mempunyai permit kerja dijanjikan kebal daripada tindakan pihak berkuasa negara ini.

Malah lebih mengejutkan apabila sindiket yang berselindung di sebalik nama sebuah pertubuhan Islam itu turut merekrut lebih 50 ejen daripada warga Indonesia dan tempatan, untuk meyakinkan warga asing menyertai skim di bawah apa yang digelar sebagai ‘Misi Kemanusiaan Malaysia’.

Pertubuhan itu turut dikesan mengedarkan risalah dan melancarkan program penerangannya di seluruh negara kononnya pemegang kad oren ini juga boleh mendapat pelindungan guaman, perubatan, perakuan kerakyatan, permit kerja serta pasport dengan syarat perlu membuat pembayaran mencecah ribuan ringgit.

Malah hasil siasatan wartawan Sinar Harian mendapati pemegang kad terdiri daripada warga asing yang tidak mempunyai dokumen perlu membayar sejumlah wang kepada pertubuhan ini bagi mengelak mereka daripada tahanan polis dan pihak berkuasa lain, atau tindakan mahkamah.

Bayaran dikenakan termasuklah RM100 jika ditahan polis di tepi jalan, RM250 jika ditahan di balai polis dan RM500 jika didakwa di mahkamah.

Sindiket yang beroperasi di sebuah rumah kedai di Kajang sejak lebih setahun lalu itu turut dikesan menjalankan proses pendaftaran program 6P dan permit kerja secara tidak sah
dengan bayaran mencecah ribuan ringgit.

Difahamkan kini seramai 2,000 hingga 3,000 warga asing, terutama dari Indonesia yang menetap di negara ini terpedaya sindiket ini yang mengugut mangsa kononnya akan ditangkap dan diserahkan kepada pihak berkuasa. jika tidak memiliki kad berkenaan.

Ejen kad oren tertipu

Hasil maklumat yang diperoleh, Sinar Harian menemu bual dua bekas sukarelawan yang pernah bekerja dengan pertubuhan terbabit.

Salah seorang bekas pekerja, Mohd Rafi Abdullah, 25, berkata, dia tertarik menyertai pertubuhan itu kerana  kerja dilakukan berasaskan kebajikan.

“Saya dijanjikan gaji RM1,500 sebulan, elaun petrol RM700 dan elaun harian RM25 serta ditugaskan untuk mengutip wang yuran ahli dan memantau pendaftaran kad oren,” katanya.

Setelah lebih sebulan, dia dinaikkan pangkat dan diarah memantau bahagian rawatan dan hospital.

“Saya jadi orang tengah untuk menyelesaikan bil dan rawatan untuk pemegang kad warga asing yang tidak mempunyai dokumen namun agak pelik kerana tiada langsung dana dikeluarkan oleh pertubuhan, sebaliknya pemegang terpaksa mengeluarkan belanja mereka sendiri untuk menyelesaikan bil hospital.

“Elaun harian dan petrol saya ditarik balik selepas tiga bulan dan pengurusan mengarahkan saya mencari wang sendiri dengan cara menipu di mana saya boleh meletakkan harga yuran keahlian lebih dari yang ditetapkan, iaitu RM270. dan bakinya akan menjadi hak saya dan kerana ini saya berhenti kerja,” katanya.

Sementara itu, bekas wakil Persatuan Sukarelawan Indonesia (Pekindo), Eliseus Warre, 47, berkata, pada awalnya dia tertarik menyertai pertubuhan itu dengan niat mahu membantu warga Indonesia yang berada di negara ini.

“Saya diarah masuk ke kawasan kilang dan rumah kongsi di seluruh negara mencari warga Indonesia yang tiada dokumen mendaftar sebagai pemegang kad oren dijanjikan permit dan dokumen perjalanan sah. Namun setelah hampir lima bulan saya tidak nampak seorang pun daripada 2,000 warga Indonesia yang saya daftarkan  mendapat perkhidmatan dijanjikan, menyebabkan saya berundur kerana memang ada unsur penipuan,” katanya.

Jelasnya, perkara itu terbukti selepas empat wanita Indonesia dijadikan ejen kad oren sedangkan mereka datang ke negara ini untuk bekerja sebagai jururawat.

“Terdapat juga dua lelaki Indonesia dijanjikan pekerjaan di Malaysia tetapi mereka dipaksa bekerja dengan pertubuhan menggunakan nama sebuah syarikat jualan langsung,” katanya.