Search This Blog

Thursday, May 30, 2013

Bala botol air



Kuantan: “Saya cuba mengelak botol yang tepat ke arah saya mengakibatkan saya terjatuh dan apabila cuba berdiri, sudah tidak mampu kerana kaki kanan tidak boleh bergerak dan terpaksa dibantu rakan.

“Bimbang keadaan lebih serius, saya dengan dibantu rakan terus ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan terkejut apabila dimaklumkan tisu kaki kanan terkoyak dan terpaksa disimen,” kata ahli kelab penyokong Elephant Army, Abby Saleh, 32.


Menurutnya, berikutan kecederaan itu, doktor menasihatkannya berehat lebih sebulan dan Abby sesekali tidak menyangka pemergiannya ke Stadium Darul Makmur untuk memberi sokongan kepada skuad Pahang pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang Johor Darul Takzim (JDT) berakhir tragedi.

Katanya, selepas menjangkakan perlawanan ditangguhkan kerana masalah yang tidak dapat dielakkan, dia bersama beberapa rakan mengambil keputusan keluar dari stadium.


Ketika berjalan keluar, insiden membaling botol air antara penyokong kedua-dua pasukan berlaku dan ketika mahu mengelak botol air yang menuju ke arahnya, dia terjatuh lalu cedera.


“Bukan mahu menuding jari kepada penyokong lawan tetapi saya tidak menolak kemungkinan botol air itu dibaling penyokong JDT kerana ketika kejadian kami baru melepasi kumpulan penyokong pasukan itu,” katanya.

“Saya tidak tahu mengapa mereka bertindak demikian kerana saya dan beberapa rakan lain berjalan tanpa sedikitpun melakukan sebarang gangguan atau provokasi.


“Kami bertempiaran lari bagi mengelak terkena botol air itu, namun saya tidak baik kerana terjatuh seterusnya cedera,” katanya dari Taman Lembaga Kemajuan Negeri Pahang (LKNP) Pekan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, dalam insiden malam kelmarin, seramai 13 individu ditahan kerana pelbagai kesalahan termasuk menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis.


Semua ditahan berusia antara 15 dan 30 tahun dan mereka dipercayai mencetuskan provokasi hingga berlaku kekecohan antara penyokong Pahang dan JDT dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA itu.


Abdul Aziz berkata, kekecohan itu dipercayai bermula apabila penyokong JDT yang duduk di tempat duduk dikhaskan kepada mereka dilempar pelbagai objek keras termasuk botol dan batu.


“Keadaan itu menyebabkan sebahagian penyokong JDT berlari masuk ke dalam kawasan padang bagi mengelak terkena balingan objek keras.


“Kita percaya perbuatan itu dilakukan penyokong tuan rumah dari arah luar stadium berikutan tidak dapat masuk dalam stadium menyaksikan perlawanan itu,” katanya.


Katanya, apabila Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Ahmad Fuad Daud mengumumkan perlawanan dibatalkan, ia menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong Pahang dan menganggap penyokong JDT punca pembatalan itu sebelum mereka terus meluru ke arah penyokong lawan.


Menurutnya, semua yang ditahan dipercayai penyokong Pahang dan mereka disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana menunjukkan isyarat tidak sopan dan Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah iaitu tindakan pencegahan daripada berlaku sebarang jenayah.

No comments:

Post a Comment