Selesema burung: WHO nasihat rakyat China tidak panik
BEIJING- Empat lagi mangsa terbaru selesema burung H7N9 maut,  menjadikan jumlah kematian kini meningkat kepada 36 daripada 131 jumlah kes yang disahkan di China.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setakat ini tiada lagi jangkitan terbaru virus berkenaan sejak ia disahkan merebak 8 Mei lalu.
Empat kematian yang dilaporkan itu merupakan kes yang telah dikenal pasti sebelum ini.
WHO turut menegaskan sekali lagi setakat ini tiada bukti virus itu mudah merebak di kalangan manusia.
“Sehingga kini punca jangkitan masih lagi dalam siasatan dan dijangka jumlah jangkitan akan meningkat,” kata WHO dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun kes baru sudah berkurangan di beberapa wilayah di negara itu.
Menurut laporan itu lagi, minggu lalu, Shanghai dan wilayah Zhejiang mula membuat pengawasan dan cuba mengawal virus ini dari terus merebak.