Search This Blog

Saturday, May 18, 2013

Anak tawar RM5,000



Johor Bahru: Buntu selepas tiada saksi tampil bagi membantu polis menyiasat kes bapanya dibelasah tiga samseng, seorang lelaki menawarkan ganjaran RM5,000 kepada mana-mana individu yang boleh memberikan maklumat sehingga dapat menahan individu yang diburu polis itu.

Dalam kejadian di Jalan Perwira 17, Taman Unku Tun Aminah (TUTA), di sini, jam 3.30 petang Selasa lalu, mangsa, Goh Kim Hok, 68, seorang pesara guru parah dibelasah tiga lelaki tidak dikenali menyebabkan dia mengalami kecederaan serius di kepala.


Akibat kecederaan itu, Goh kini koma dan sudah menjalani pembedahan bagi membuang darah beku di kepala dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Anaknya, Goh Soon Keng, 40, berkata, masalah sekarang ialah siasatan polis terbantut berikutan tiada saksi yang berani tampil menyalurkan maklumat bagi mengesan suspek.


“Berikutan itu, kami sekeluarga sepakat menawarkan ganjaran RM5,000 kepada mana-mana individu bagi membantu polis menahan suspek.


“Berdasarkan cerita yang kami dengar, ada saksi yang melihat kejadian, tetapi tidak berani tampil, mereka mengatakan seorang daripada suspek mengenakan gaya rambut ‘mohawk’, manakala dua lagi suspek berbadan sasa dan sederhana.

“Ada yang mendakwa suspek menaiki kereta Proton Persona, hanya itu maklumat yang kami terima, tetapi tidak cukup untuk mengenal pasti individu terbabit,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) Asisten Komisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menerima laporan berkaitan serangan terhadap mangsa.

Menurutnya, polis mengenal pasti semua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 325, Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah.


“Saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan, maklumat mereka penting bagi membolehkan polis meneruskan siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment