Search This Blog

Thursday, May 30, 2013

Amaran geng lawan



Kapar: Kemunculan kain rentang yang memaparkan logo tertentu sekitar Pekan Meru sejak semalam dipercayai mempunyai hubung kait dengan kematian seorang lelaki juga ahli kumpulan kongsi gelap yang terbunuh akibat ditembak di sebuah restoran di Jalan Meru, awal pagi Isnin lalu.

Kain rentang yang dilekat ahli kumpulan kongsi gelap disertai mangsa dipercayai sebagai ‘amaran’ awal kepada kumpulan lawan bahawa mereka akan membalas dendam dan menuntut bela atas kematian rakan mereka.


Kemunculan kain rentang itu mendapat reaksi kurang senang daripada orang ramai yang melalui kawasan Meru selain menimbulkan kerisauan kejadian sama akan berulang.

Tinjauan Harian Metro semalam bagaimanapun tidak menemui kain rentang yang dimaksudkan kerana difahamkan pihak polis yang dimaklumkan perkara itu oleh orang awam mengambil tindakan drastik menurunkan kain rentang itu dengan kadar segera.


Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Superintendan Jani Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan kewujudan kain rentang itu daripada orang ramai yang melalui kawasan Meru.


Menurutnya, polis mengambil tindakan segera dengan mengarahkan anggota bertugas untuk membuat rondaan sekitar daerah ini selain menurunkan kain rentang berkenaan.

“Kami faham kerisauan orang ramai dengan wujudnya kain rentang itu. Jadi tindakan menurunkan sudah dibuat di kawasan Meru dan sekitarnya. Namun, jika ada sesiapa yang melihat kain rentang yang mempunyai logo atau lambang tertentu diminta menghubungi polis.


“Polis juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba menimbulkan huru-hara dan suasana tegang agar menghentikan tindakan itu atau berdepan dengan tindakan undang-undang,” katanya.

Harian Metro kelmarin melaporkan majlis sambutan hari lahir seorang lelaki dipercayai ahli satu kumpulan gengster bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut ditembak anggota kumpulan lain di sebuah restoran.


Bukan itu saja, seorang lagi anggota kongsi gelap yang diserang kini koma akibat ditetak dengan parang menyebabkan telinga kanannya hampir putus selain cedera di muka.


Dalam kejadian jam 1 pagi itu, lelaki berusia 28 tahun yang terbunuh itu bersama 20 rakannya berada di premis berkenaan untuk menyambut hari lahir seorang ahli kumpulan mereka.

No comments:

Post a Comment