Search This Blog

Sunday, May 19, 2013

Aktor menggigil diacu pistol



Cannes (Perancis): Aktor pemenang Oscar, Christopher Waltz mengakui dia menggigil ketakutan ketika seorang lelaki tidak dikenali mengacu pistol ke arahnya dan mengancam untuk meletupkan studio ketika pelakon terbabit diwawancara secara langsung.

Waltz - memenangi Oscar untuk watak dalam dua filem arahan Quentin Tarantino - sedang diwawancara bersama seorang lagi aktor, Daniel Auteuil, apabila kedengaran dua das tembakan dilepaskan.


Rakaman detik itu menunjukkan penonton panik bertempiaran lari ketika pengawal keselamatan bergegas membawa Waltz dan Auteuil turun dari pentas. Bercakap kepada Daily Mail, Waltz memberitahu, untuk beberapa detik dia cemas dan bimbang dengan keselamatannya.

“Saya antara panel yang berada di pentas Studio Canal di tepi pantai apabila seorang lelaki mengacukan senjata api.


“Saya rasa senjata itu pistol dan dia melepaskan tembakan tetapi nasib baik tidak mengenai saya.


“Kemudian lelaki terbabit menjerit kepada saya dengan mengatakan dia ada bom tangan,” katanya ketika ditemui.

Foto
ANGGOTA keselamatan menahan penyerang terbabit.

Foto
WALTZ (kanan) dibawa ke tempat selamat.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan berlaku apabila anggota keselamatan bertindak pantas menahan penyerang terbabit. Waltz berkata, dia tidak tahu atau mengenali lelaki yang cuba menembaknya itu.


Sementara itu, saksi Arthur Laiguesse berkata, pengawal melompat melepasi penghadang dan menerpa penyerang sebelum menolaknya ke tanah. Tidak lama kemudian, katanya, polis tiba dan memberitahu semua orang agar pergi dari situ kerana mungkin ada bom.

Selepas diperiksa, polis mengesahkan lelaki terbabit hanya membawa pistol, bom dan pisau palsu.


Jurucakap polis berkata, lelaki terbabit dipercayai mengalami gangguan mental.


Pengacara rancangan France 24, Michel Denisot pula berkata, sejurus sebelum melepaskan tembakan, suspek berbisik kepada wanita di sebelahnya supaya pergi dari situ. - Daily Mail

No comments:

Post a Comment