Search This Blog

Monday, May 6, 2013

Ajal lintas jalan pergi surau



Marang: Hasrat seorang warga emas mengundi buat kali ke-10 tidak kesampaian apabila dia maut dilanggar motosikal di Kilometer 12.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam, Taib Mohd, 70, dari Kampung Rhu Renggeh di sini, yang dalam perjalanan ke surau untuk solat Isyak, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.


Kejadian berlaku ketika Taib yang melintas jalan apabila dilanggar motosikal Yamaha 125Z dipercayai ditunggang seorang lelaki berusia 21 tahun.

Anak mangsa Abdul Aziz, 42, berkata, menjadi rutin harian arwah ke surau yang terletak 500 meter dari rumah dengan berjalan kaki untuk solat Maghrib dan Isyak.


Katanya, dia difahamkan sebelum kemalangan itu, arwah minum di warung berhampiran tempat kejadian dan bergegas ke surau berkenaan apabila hampir tiba waktu solat.


“Ketika kemalangan, saya berada di rumah sebelum seorang jiran datang memaklumkan arwah terbabit dalam kemalangan.

“Saya ingatkan arwah hanya kemalangan biasa, tetapi sebaik sampai di tempat kejadian, saya dapati dia sudah meninggal dunia.


“Difahamkan arwah masih bernyawa selepas dilanggar dan beberapa orang yang melihat kejadian itu sempat mengajarnya mengucap,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, kelmarin.

Abdul Aziz berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik, tetapi ada menyatakan hasrat untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 semalam.


Dalam kejadian berasingan, seorang remaja, Wan Mohd Afiq Wan Mohd Johariman, 18, maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan kereta di Kilometer 21, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang, di sini, kelmarin.


Mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC dari Kampung Padang Pak Wan Rawai, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima dua laporan kemalangan itu dan berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan.

No comments:

Post a Comment