Search This Blog

Thursday, May 23, 2013

Adik ugut bakar rumah


Pasir Mas: “Dua hari sebelum kejadian, adik lelaki saya mengamuk dan menyepahkan seluruh rumah serta mengugut ibu mahu membakar rumah,” kata Raihan Abd Rahman, 50, anak kepada Zainab Ahmad, 65, yang rumahnya di Kampung Kasar, terbakar, semalam.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, Zainab tiada di rumah kerana bermalam di rumah Raihan di Kampung Lati dekat sini.


Menurut Raihan, sebelum ini, adiknya pernah beberapa kali mengugut ibunya untuk membakar rumah jika permintaannya mendapatkan wang tidak dipenuhi.

“Kali terakhir saya terserempak dengan adik lelaki ketika menjemput ibu di rumah untuk bermalam di rumah saya selepas adik mengamuk,” katanya.


“Sebagai wanita, saya tidak berani menegur perbuatannya kerana takut dicederakan kerana sejak kebelakangan ini dia bersikap panas baran dan suka mengamuk jika ibu tidak memberinya wang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Menurutnya, ibunya sentiasa bermalam di rumahnya kerana bimbang adik lelakinya itu bertindak luar batasan, namun ibu tetap pulang ke rumah pada waktu pagi untuk mengemas rumah dan akan datang semula ke rumahnya pada waktu petang.

“Ibu ada memaklumkan kepada saya yang dia tidak sedap hati. Saya memang mengesyaki dia (adik) membakar rumah kerana setiap kali mengamuk, dia akan mengugut mahu membakar rumah ibu. Hari ini (semalam), hajatnya untuk membakar rumah ini tercapai.


“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ketika rumah terbakar, ibu tiada,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Raihan membuat laporan di Balai Polis Pasir Mas kerana mengesyaki adik lelakinya membakar rumah ibu mereka.


Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.03 pagi.


“Sebaik menerima panggilan, empat anggota bersama sebuah jentera dihantar ke tempat kejadian. Api berjaya dikawal 13 minit kemudian, namun punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.


Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat pengadu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

No comments:

Post a Comment