SUNGAI SIPUT – Gangguan gajah di kawasan Felda Lasah, di sini bukan perkara asing kerana sekitar tahun 70-an  pernah ada kes peneroka mati akibat dipijak.

Osman Yaacob, 63, berkata, ia berlaku ketika lokasi berkenaan mula-mula diteroka yang mana ketika itu penduduk keluar awal pagi untuk menoreh.

Menurutnya, ketika itu, hampir semua penduduk keluar sesudah subuh dan kehadiran haiwan liar seperti gajah kurang disedari kerana keadaan laluan yang gelap.

“Waktu itu arwah naik basikal, dia tak sedar sebenarnya laluan itu ada gajah, arwah terlanggar kaki gajah itu lalu jatuh, mungkin masing-masing terperanjat, gajah tu pun bertindak ganas dan memijaknya,” katanya.

Osman yang merupakan generasi kedua peneroka di felda berkenaan memaklumkan kawasan itu mula diteroka pada 1968.

Dia yang memiliki kebun getah seluas 3.2 hektar mengakui, penduduk di kawasan itu sudah terlalu biasa dengan kehadiran gajah.

Bagaimanapun katanya, sepanjang tempoh itu, hanya satu kematian yang diketahui sementara lain hanya melibatkan kecederaan seperti pengsan dan patah kaki akibat mahu melarikan diri setelah terserempak dengan haiwan itu.

“Bukan setakat gajah, beruang dan harimau pun ada, itu adatlah sebab ini kawasan hutan, sekarang tak ada sangat, cuma gajah sahaja yang masih kelihatan,” katanya.

Seorang lagi peneroka, Abdul Razak Mat Rejab, 71, berkata, sekitar tahun 80-an, penduduk di kawasan itu paling kerap menerima kehadiran gajah. Hinggakan ada ketikanya, haiwan itumenjadikan tepi rumah sebagai laluan.

“Dulu kita tak ada jalan yang elok, jadi gajah suka lalu tepi rumah. Kadang-kadang berlanggar dengan dinding papan rumah kita.

“Tapi Alhamdulillah, tak ada berlaku benda-benda berisiko,” katanya.

Pada 11 Mei lalu, Perhilitan Perak berjaya menangkap lapan ekor gajah dalam tempoh empat hari yang merupakan tangkapan terbesar pernah direkodkan.