Search This Blog

Thursday, May 16, 2013

6 pemimpin gereja dibicara

6 pemimpin gereja dibicaraKong Hee (memakai jaket) tiba untuk perbicaraan di mahkamah di Singapura semalam. Didakwa gelapkan wang RM96 juta biayai kerjaya muzik isteri pengasas

SINGAPURA: Singapura semalam memulakan perbicaraan rasuah ke atas enam pemimpin gereja yang dituduh menggelapkan lebih S$40 juta (RM96 juta) untuk membiayai kerjaya muzik pop isteri kepada pengasas pergerakan mereka.

Pengikut setia Gereja City Harvest berbaris di mahkamah Singapura tengah malam kelmarin untuk menunjukkan sokongan kepada tertuduh yang didakwa memindahkan dana jemaah kepada pelaburan palsu bagi meningkatkan kerjaya penyanyi Ho Yeow Sun, lebih dikenali sebagai Sun Ho.
Gereja berkenaan dengan sekutunya di Malaysia dan negara lain adalah antara yang terkaya dan terbesar di Singapura, dengan keahlian lebih 30,000 orang. Ia dikenali di rantau itu kerana melancarkan konsert pop berskala besar yang dikendalikan suami Ho, Kong Hee.



Beliau tidak dibicarakan tetapi hadir di mahkamah semalam berpakaian jaket kulit hitam, seluar ketat, but tumit tinggi dan rambut perang muda serta kanta lekap kelabu. Suaminya berbual penuh yakin dengan peguamnya. Kong didakwa bersubahat melakukan jenayah pecah amanah.

Turut didakwa ialah paderi gereja, Tan Ye Peng; anggota gereja, Chew Eng Han dan Lam Leng Hung, dan akauntan Serina Wee Gek Yin dan Sharon Tan Shao Yuen.

Keenam-enam mereka, yang tidak memberitahu bagaimana untuk mengemukakan rayuan, berdepan hukuman penjara antara 10 hingga 20 tahun. Penyelewengan dikatakan berlaku pada 2009.
Kenyataan pembukaan pendakwaan menyindir pendirian pemimpin gereja bahawa muzik pop adalah peralatan gereja yang membantu menyebarkan mesej Tuhan. Ia berkata, Ho merakam dan melancarkan album muzik sekular untuk mempengaruhi orang ramai yang tidak pernah memilih untuk menjejakkan kaki ke gereja untuk mendengar ceramah.

Pelaburan oleh gereja dalam dua syarikat, Xtron Productions dan Firna, ada dalam transaksi palsu disusun oleh tertuduh yang terbabit dalam perancangan dan pembiayaan karier muzik Ho, menurut pendakwa.

Laporan media menyebut 24 juta dolar Singapura (RM57 juta) disalurkan menerusi Xtron dan Firna dan sejumlah S$26 juta (RM62 juta) disalah guna untuk menutup jumlah awal.

Media Singapura melabelkan Ho, berusia awal 40-an, sebagai bintang meningkat naik yang mengharapkan kemasyhuran antarabangsa bagi membantu menyebarkan pengaruh gerejanya. - AP

No comments:

Post a Comment