Search This Blog

Friday, May 3, 2013

3 rakan kolej pengebom maraton Boston ditahan



Boston: Tiga rakan kolej suspek pengeboman maraton Boston, Dzhokhar Tsarnaev kelmarin ditahan dan dituduh cuba melindunginya dengan pergi ke asrama suspek dan membuang beg galas yang berisi mercun tiga hari selepas insiden serangan itu.

Tiga pemuda berusia 19 tahun itu bagaimanapun tidak didakwa terbabit dalam insiden pengeboman itu. Namun, dalam nota di dokumen mahkamah yang menggariskan pertuduhan, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berkata bahawa kira-kira sebulan sebelum tragedi itu, Dzhokhar memberitahu dua daripada tiga rakannya itu bahawa dia tahu bagaimana untuk membuat bom.


Azamat Tazhayakov dan Dias Kadyrbayev, kedua-duanya yang datang ke Amerika Syarikat dari Kazakhstan didakwa berkonspirasi menghalang keadilan dengan menyembunyi dan memusnahkan bukti. Robel Phillipos lulusan dari sekolah tinggi Cambridge, Massachusetts bersama Dzhokhar didakwa menipu penyiasat mengenai kunjungan ke bilik rakannya itu.


Menurut akaun FBI, hanya beberapa jam selepas foto kamera pengawasan mengenai suspek pengeboman maraton Boston disiarkan ke seluruh dunia pada 18 April lalu, rakan Dzhokhar mengesyaki dia adalah seorang daripada pengebom dan memindahkan beg galas miliknya bersama sebuah komputer riba dari bilik Dzhokhar di Universiti Massachusetts di Dartmouth. Seorang daripada mereka kemudian membuang beg galas itu di tong sampah sebelum ia diangkut ke pusat pelupusan, di mana ia ditemui oleh polis minggu lalu, kata pihak berkuasa.


Di dalam beg galas itu terdapat mercun yang sudah tiada serbuk letupannya. - AP

No comments:

Post a Comment