3 kes penyamaran dilaporkan
Mohamad Fakri
SERI ISKANDAR - Pelbagai cara dilakukan penjenayah untuk mencapai tujuan mereka termasuk melakukan penyamaran sebagai kakitangan agensi tertentu bagi menyembunyikan niat jahat mereka.

Terbaru, sebanyak tiga kes samun dilaporkan di kawasan Bota melibatkan kes penyamaran.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, modus operandi mereka menyamar sebagai Pegawai Tenaga Nasional berhad (TNB) dan menyasarkan rumah-rumah warga emas yang tinggal berseorangan untuk dijadikan mangsa.

Menurutnya, penjenayah berkenaan memasuki rumah mangsa dan berpura-pura memeriksa perkakasan elektrik, meter elektrik dan sebagainya di rumah mangsa.

“Kegiatan mereka ini sekitar jam 11.00 tengah hari hingga 12.30 tengah hari dan dilaporkan penjenayah menggunakan kereta jenis proton saga berwarna hijau dengan plat pendaftaran PEL 8794.

“Apabila mangsa telah terpedaya penjenayah berkenaan akan menyamun barangan berharga milik mangsa,” katanya.

Katanya, sehingga kini sebanyak tiga laporan polis telah diterima yang berlaku di Kampung Selat pada 17 April lalu, Batu 14 ¼ Kampung Padang (23 April) dan yang terbaru di Batu 26 Jalan Tronoh pada (9 Mei).

“Kesemua mangsa terlibat adalah golongan wanita warga emas dan mereka kehilangan barangan kemas masing-masing bernilai RM1,200, RM5,300 serta RM1,500.

“Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan dalam kes ini,” katanya.

Katanya, pihak polis juga turut meminta ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung, Penghulu, Rela, Ketua-ketua kampung dan penduduk sekitar Bota serta Perak Tengah amnya untuk menghebahkan perkara itu kepada penduduk.

“Saya juga ingin menasihatkan penduduk supaya tidak mudah percaya kepada mereka yang tidak dikenali kerana mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai niat jahat tersebut.

“Pastikan barangan berharga disimpan dengan rapi dan jika timbul sebarang keraguan atau syak terhadap mereka yang tidak dikenali, boleh menghubungi bilik kawalan polis daerah 05-371322 dengan segera,” katanya.