Search This Blog

Tuesday, May 14, 2013

200 rakyat tunjuk perasaan



Penunjuk-penunjuk perasaan, melempar telur ke arah Kedutaan Filipina semalam sebagai bantahan berikutan kematian seorang nelayan rakyat Taiwan, baru-baru ini. - AP
TAIPEI 13 Mei - Kira-kira 200 rakyat Taiwan mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Filipina, di sini hari ini bagi membantah kematian seorang nelayan negara ini akibat ditembak pengawal pantai Filipina di kawasan maritim yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara.
Bantahan itu diadakan sehari sebelum tamatnya tempoh 72 jam yang diberikan Presiden Taiwan, Ma Ying-jeou kepada Manila untuk memohon maaf atas insiden terbabit dan memberi pampasan kepada keluarga mangsa.
Taiwan turut menuntut pengawal pantai terbabit didakwa.
Jika kerajaan Filipina enggan, Ying-jeou akan memanggil pulang wakil Taipei di Manila dan menyekat rakyat Filipina bekerja di Taiwan.
Khamis lalu, pasukan pengawal pantai Filipina mengakui melepaskan lebih 50 das tembakan ke arah kapal nelayan terbabit yang memasuki kawasan maritim di Selat Bashi, terletak antara Taiwan dan utara Filipina.
Mereka mendakwa, tembakan dilepaskan bagi mempertahankan diri selepas kapal nelayan berkenaan cuba melanggar kapal pengawal pantai.
Di Manila, jurucakap Presiden, Abigail Valte berkata, pihak berkuasa telah menjalankan siasatan tentang kejadian itu.
Jelasnya, krew pasukan pengawal pantai yang terlibat dalam insiden berkenaan telah digantung tugas bagi memastikan siasatan berjalan secara adil.
Selain itu, beliau berharap hubungan ekonomi antara Taipei dan Manila tidak akan terjejas ekoran insiden tersebut. - AGENSI/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130514/lu_05/200-rakyat-tunjuk-perasaan#ixzz2TDKrqoxW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment