KAPIT - Dua lelaki yang disenaraikan sebagai antara penumpang yang hilang selepas sebuah bot ekspres karam di Sungai Rajang dekat Belaga, kira-kira 155km dari sini Selasa lepas, sebenarnya masih hidup dan telahpun pulang ke rumah panjang mereka, menurut seorang anggota keluarga.

Connie Menai memberitahu pemberita di sini hari ini bapa saudaranya, Akong Empam, 50, dan sepupu, Hendry Linggi, 35, yang disenaraikan sebagai hilang ekoran insiden itu kini berehat di rumah panjang mereka, Rumah Panjang Berundang, Nanga Ensawi, kira-kira dua jam perjalanan dengan bot menghulu sungai dari sini.

"Selepas mendengar nama mereka disebut menerusi siaran radio malam tadi sebagai antara penumpang yang hilang, saya datang ke sini bersama-sama suami untuk membuat laporan polis bagi memperjelaskan perkara sebenar," katanya ketika ditemui di ibu pejabat polis di sini hari ini.

Menurutnya kedua-dua lelaki itu memberitahunya mereka melompat dari bot ekspres 'Kawan Mas' yang semakin karam sebelum dihanyutkan arus deras sehingga kira-kira satu kilometer sebelum krew sebuah tongkang ternampak mereka lalu menghulurkan bantuan.

"Kira-kira tengah hari Selasa lepas baru mereka sampai di rumah panjang... letih, basah dan hanya memakai seluar dalam," katanya.

Sementara itu, abang ipar Tujok, Philip Doren, berkata mereka berdua terjun bersama-sama dari bot ekspres yang sedang karam itu dan berenang ke tebing sungai.
  
Philip yang juga rakan sekerja Tujok bersama-sama 17 lagi pekerja sebuah kem pembalakan di Bakun menaiki bot ekspres Kawan Mas itu yang karam di Jeram Tukok dan Jeram Bungan di Sungai Rajang antara 8.30 pagi dan 9 pagi Selasa lepas.
  
"Kami sedang duduk di bumbung bot apabila tiba-tiba saya dapat merasakan bot itu membelok tajam dan kemudian kedengaran bunyi kuat dari belakang bot yang mula menjadi senget. Kami semua terus terjun ke sungai untuk menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita di Klinik Kesihatan Belaga.
  
Mayat Tujok dibawa ke klinik di sini untuk autopsi. Anggota keluarganya bercadang membawa mayatnya pulang ke rumah panjangnya, Rumah Seking di Nanga Merit, Kapit hari ini. - Bernama