Keadaan pipi Arasu yang cedera dalam kejadian itu.
Keadaan pipi Arasu yang cedera dalam kejadian itu.
Arasu
Arasu melakonkan semula bagaimana dia diikat dan ditendang sebelum dipijak penjenayah.
ALOR GAJAH - Dua pekerja lelaki sebuah kilang besi buruk panik selepas diikat, ditendang dan dipijak lima penjenayah dalam kejadian samun di sekitar Pulau Sebang, dekat sini, pagi kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, A Tirunavukarasu, 36, bersama rakannya yang berusia 62 tahun sedang tidur sebelum pintu kabin ditendang.

Arasu berkata, dia terus terjaga sebaik terdengar bunyi pintu ditendang sebelum membukanya dan muncul seorang lelaki lalu mencengkam leher dan menendangnya sehingga jatuh.

“Dengan nada keras, lelaki itu mengarahkan saya supaya jangan bising dan minta meniarap di atas lantai sebelum kedua-dua tangan diikat menggunakan wayar kabel.

“Saya merayu supaya tak diapa-apakan, namun mereka tidak peduli dan terus hentak kepala saya dengan kakinya beberapa kali sehingga kulit pipi saya terkoyak,” katanya.

Menurutnya, rakannya yang tidur berhampiran turut diikat menggunakan kain dan kepala dipijak.

“Ketika itu, saya nampak dua lelaki masuk ke dalam kabin di mana salah seorang daripada mereka membawa parang dan memakai sarung muka hitam sebelum terdengar suara seorang wanita.

“Wanita terbabit bercakap sesuatu di bahagian luar pintu hadapan manakala seorang daripada mereka berkawal di bahagian pintu belakang," katanya.

Arasu berkata, selepas itu, salah seorang daripada lelaki terbabit mengugut untuk mencederakannya jika tidak memberitahu di mana wang disimpan.

“Dua lelaki yang baru masuk tadi menggeledah laci sebelum merampas wang tunai hasil jualan milik majikan berjumlah RM2,300,” katanya.

Menurutnya, mereka yang tidak berpuas hati dengan hasil curian naik berang lalu menterbalikkan sebuah almari sebelum merampas sebuah beg pakaian.

“Salah seorang daripada mereka mengambil wang tunai RM230 dalam beg pakaian itu yang mengandungi pasport dan dokumen penting lain sebelum beredar,” katanya.

Katanya, selepas mereka beredar, rakannya berjaya melepaskan diri sebelum menghubungi majikan untuk memaklumkan kejadian itu.

“Selepas itu, majikan membawa saya ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Pulau Sebang.

Jurucakap polis berkata, sepasukan anggota Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka turut ke lokasi kejadian bagi menjejaki suspek.

“Mangsa yang cedera di mata dan muka menerima empat jahitan di pipi manakala rakannya tidak cedera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, siasatan polis mendapati suspek meletakkan kenderaan tidak jauh dari lokasi kejadian dan dipercayai masuk melalui pintu belakang.

"Lima suspek termasuk seorang wanita dipercayai terbabit dalam kejadian itu," katanya.