Search This Blog

Saturday, May 18, 2013

2 maut kereta bertembung van



Keadaan kedua-dua kenderaan yang remuk selepas bertembung dalam kemalangan ngeri di Kilometer 49, Jalan Kota Bharu-Terengganu di Kampung Wakaf Raja di Pasir Puteh, Kelantan, malam semalam.
PASIR PUTEH 17 Mei - Dua sahabat maut manakala dua rakan mereka parah selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah van di Kilometer 49, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kampung Wakaf Raja di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 11.50 malam itu, dua mangsa yang maut ialah pemandu kereta Proton Perdana, Fadzhilhafizie Zakaria, 26, dan penumpang di tempat duduk hadapan, Tuan Mohd. Rizuan Zakaria, 26.
Fadzhilhafizie meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jerteh (HJ) kira-kira pukul 4 pagi manakala Tuan Mohd. Rizuan pula di Hospital Tengku Anis (HTA), kira-kira sejam selepas itu.
Dua lagi mangsa yang duduk di bahagian belakang iaitu Abd. Aziz Rapuzali, 23, dan Mohd. Faisal Firdaus Haron, 20, kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian kerana cedera parah.
Sementara itu, pemandu van berkenaan, Lee Sui Hong, 62, turut dikejarkan ke HUSM akibat patah kedua-dua kaki.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, kereta itu dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu ke Jerteh manakala van terbabit pula datang dari Dungun, Terengganu menghala ke Kota Bharu.
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati van tersebut dipercayai terbabas ketika melalui sebuah selekoh di situ lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta terbabit.
"Mangsa yang tersepit dikeluarkan sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
"Kedua-dua mayat dituntut oleh keluarga masing-masing sebaik sahaja selesai menjalani bedah siasat. Pihak polis meminta saksi yang melihat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan yang akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130518/je_02/2-maut-kereta-bertembung-van#ixzz2TbqLSpe0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment