13 GRO kena cekup
Sebahagian daripada 13 GRO yang ditahan dalam serbuan di Taman Usahawan, Kepong, semalam.
KUALA LUMPUR - Cubaan 13 pelayan pelanggan (GRO) warga China bersembunyi bawah katil bagi mengelak dicekup tidak berjaya, apabila sepasukan anggota polis menyerbu sebuah pusat refleksologi di Taman Usahawan, Kepong, petang kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 5.35 petang itu, turut ditahan adalah penjaga premis berusia 50 tahun.

Pegawai Unit Maksiat Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Inspektor Mohammad Mohd Jais berkata, serbuan dibuat selepas risikan mendapati pemilik premis menyalahgunakan lesen perniagaan dan menawarkan khidmat seks.

Beliau berkata, pemeriksaan menunjukkan 10 daripada wanita terbabit mempunyai pas lawatan sosial, manakala tiga lagi tiada dokumen sah untuk berada di negara ini.

“Siasatan menunjukkan harga perkhidmatan urutan yang dikenakan kepada pelanggan adalah RM30, manakala urutan batin bermula dari RM30 ke atas.

“Bagi perkhidmatan seks harga dikenakan mencecah sehingga RM100 dan perkhidmatan ini hanya ditawarkan kepada pelanggan tetap serta yang dikenali,” katanya.

Difahamkan, premis terbabit sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu dan mempunyai lesen sah untuk menjalankan perniagaan refleksologi.

Semua GRO berusia antara 20 dan 40 tahun serta penjaga premis dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.