Search This Blog

Sunday, April 14, 2013

Wanita keluar dari bank dirompak RM20,600




KLANG 12 April - Seorang wanita terpaksa berputih mata setelah wang berjumlah RM20,600 yang baru dikeluarkan dari sebuah bank dilarikan oleh dua perompak bermotosikal di lampu isyarat di Batu Nilam, Bandar Botanik di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu, mangsa berusia 39 tahun yang memandu kereta jenis Mercedes Benz sedang berhenti di lampu isyarat di jalan tersebut apabila dua lelaki menaiki motosikal berhenti di sebelahnya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, seorang daripada suspek kemudian bertindak memecahkan cermin di sebelah pemandu dan terus merampas beg tangan mangsa.

Beliau berkata, wang yang dilarikan itu adalah untuk membayar gaji pekerja sebuah syarikat pengangkutan yang diusahakan oleh suami mangsa.

"Wanita tersebut memaklumkan dia tidak dapat mengecam wajah suspek kerana penjenayah memakai topi keledar dan jaket tetapi berdasarkan susuk tubuh mereka, mangsa percaya suspek berusia dalam lingkungan 20-an.

"Mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan bagaimanapun tidak dapat melakukan apa-apa untuk menghalang suspek kerana jalan ketika waktu kejadian sedikit sesak," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini hari ini.

Menurut Mohamad, polis percaya suspek telah memerhatikan mangsa bermula dari dalam bank tersebut sebelum bertindak merompaknya ketika berhenti di lampu isyarat.

Sehubungan itu, katanya, polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian tersebut supaya menghubungi IPD Klang Selatan menerusi talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.

"Saya nasihatkan orang awam terutama golongan wanita yang keluar dari bank supaya sentiasa berhati-hati dan tidak berjalan keseorangan jika membuat transaksi dalam jumlah yang banyak," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130413/je_08/Wanita-keluar-dari-bank-dirompak-RM20600#ixzz2QQY11zhP
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment