Search This Blog

Saturday, April 27, 2013

Wanita diculik along sempat SMS suami


 
Johor Bahru: Tindakan pantas seorang suri rumah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada suami menyelamatkannya daripada dilarikan along.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, berkata polis juga berjaya menahan penjenayah terbabit.
Dalam kejadian jam 4.30 petang kelmarin, wanita berusia lingkungan 30-an itu didatangi empat lelaki dipercayai along menuntut hutang suaminya di Kampung Suria Muafakat, di sini.

Ugut bawa lari ke KL

Mereka juga meminta mangsa membayar sekurang-kurangnya RM500 dan jika gagal, dia akan dibawa ke Kuala Lumpur, katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Zainuddin berkata, akibat gagal menjelaskan bayaran itu, kumpulan terbabit memaksa wanita berkenaan masuk ke dalam sebuah kereta.

Bagaimanapun, wanita itu sempat menghantar SMS kepada suaminya termasuk memaklumkan jenis kenderaan dan nombor pendaftarannya. Suami mangsa yang bekerja di Larkin segera menghubungi polis.
Polis berjaya mengesan kereta suspek di Taman Nusa Idaman, Bukit Indah di sini,jam 6.45 petang, katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman di lokap IPD Johor Bahru Selatan untuk siasatan lanjut.

Polis menemui beberapa senjata seperti kayu panjang, dua rotan dan satu buku lima dalam kereta suspek yang dipercayai digunakan untuk tujuan kekerasan ketika menuntut hutang, katanya.

Beliau berkata, mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan serta Seksyen 384 kerana menculik dan melakukan ugutan serta pemerasan.

No comments:

Post a Comment