Pemandu lori ugut abang guna pedang
Tertuduh (dua, kiri) dibawa keluar dari mahkamah selepas tuduhan dibuat, semalam.
KOTA BHARU – Seorang pemandu lori berdepan penjara sehingga tujuh tahun, selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengugut abangnya dengan pedang, kelmarin.

Tuduhan terhadap Kamarudin Ismail, 39, dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Mohd Isa Mohamed.

Lelaki dari Selising, Pasir Puteh itu didakwa mengugut abangnya, Mohamad Latfi, 43, dengan kata-kata sambil memegang pedang dengan niat hendak menyebabkan ketakutan yang mendatangkan kecederaan kepadanya.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bukit Bidang, Selising, pada jam 10.30 pagi.

Dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad, menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kes bersambung 25 April depan.